Isnin, 19 Februari 2024 | 4:51pm
Ketua Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah (dua dari kanan) ketika pelancaran jersi 'home' bagi musim 2024-2025 Perak FC di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh. - BERNAMA
Ketua Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah (dua dari kanan) ketika pelancaran jersi 'home' bagi musim 2024-2025 Perak FC di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh. - BERNAMA

Yusri realistik kemampuan Bos Gaurus

KUALA LUMPUR: Pasukan Perak FC bersikap realistik apabila sedar cabaran lebih berliku bakal dihadapi Bos Gaurus dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/25.

Ketua jurulatih Perak, Yusri Che Lah juga enggan menjanjikan bulan bintang, namun menjelaskan bahawa Bos Gaurus akan cuba untuk memberikan yang terbaik kepada seluruh penyokong skuad itu.

Justeru, pengendali berusia 47 tahun itu mengharapkan sokongan padu daripada peminat dalam memastikan Perak mampu memberi saingan yang diharapkan dalam kancah Liga M.

"Sebelum perlawanan memang mudah untuk bercakap tetapi saya ingin nyatakan yang kita akan cuba untuk melebihi apa yang kita capai tahun lalu. Saya mengharapkan sokongan daripada anda (penyokong) semua.

"Tanpa sokongan, pemain juga tidak mampu untuk merealisasikan impian orang Perak. Musim ini adalah musim yang panjang, jadi saya harapkan doa untuk membolehkan kami harungi musim ini dengan baik dan dapat kejayaan," katanya.

Meskipun menamatkan Liga Super musim lalu di kedudukan ke-11, namun Yusri yang dilantik sebagai pengganti Datuk Lim Teong Kim pada pertengahan musim berjaya memacu Bos Gaurus ke separuh akhir Piala Malaysia sebelum tunduk kepada juara, Johor Darul Ta'zim (JDT).

Sebelum ini, bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail dalam laporan BH Sukan meletakkan Perak sebagai antara lima pasukan yang mampu memberi saingan dalam saingan Liga Super musim ini.

Bos Gaurus dilihat sudah melakukan persiapan awal bagi mengharungi musim 2024/25 dengan membawa masuk beberapa muka baharu termasuk bintang import dari Kyrgyzstan, Adilet Kanybekov.

Selain Kanybekov, Perak turut membawa masuk Ariff Ar-Rasyid Ariffin, Mohamad Ramadhan Ab Hamid, Nur Azfar Fikri Azhar dan Tommy Mawat.

Berita Harian X