Ahad, 18 Februari 2024 | 6:53pm
Pemain Terengganu meraikan jaringan berdepan KL City FC, dalam Liga Perdana Futsal Malaysia di Stadium Negeri malam tadi. Foto PBSNT
Pemain Terengganu meraikan jaringan berdepan KL City FC, dalam Liga Perdana Futsal Malaysia di Stadium Negeri malam tadi. Foto PBSNT

Skuad Terengganu lebih hebat tanpa pemain import

KUALA TERENGGANU: Biarpun tanpa pemain import, skuad futsal Terengganu ternyata lebih hebat apabila membelasah Kuala Lumpur City FC (KL City FC) 6-1 malam tadi.

Disiplin tinggi selain bermain tanpa tekanan menjadi kunci utama kemenangan skuad Pantai Timur ketika berdepan pasukan The City Boys itu.

Pada aksi pertama Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) di Stadium Negeri, skuad kendalian Mohd Rozairi Ahmad yang menggunakan sepenuhnya tenaga tempatan beraksi cemerlang untuk menyekat lawan yang menggunakan khidmat import Korea Selatan, Eom Jiyong.

"Biarpun tanpa pemain import, semangat luar biasa yang diperagakan pemain berjaya menumbangkan lawan yang menggunakan khidmat pemain import.

"Beraksi tanpa tekanan selain mahu membuktikan tenaga tempatan juga tidak kurang hebatnya menjadi kunci kejayaan, lebih membanggakan kami mendapat enam jaringan.

"Insya-Allah kita akan melakar kejutan demi kejutan selepas ini kerana pasukan kita satu-satunya tanpa khidmat pemain import berbanding tujuh lagi pasukan.

"Bagaimanapun saya ingatkan pemain agar tidak terlalu selesa sebaliknya perlu berusaha lebih gigih berdepan dengan pasukan lain," katanya selepas tamat perlawanan.

Selepas ini skuad Terengganu bakal berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Perbandaran Pasir Gudang pada 24 Februari ini.

Berita Harian X