Ahad, 18 Februari 2024 | 5:32pm
Aksi pemain import Pahang Rangers FC, Murilo Saad (tengah) pada perlawanan dengan Shah Alam City. - Foto PRFC
Aksi pemain import Pahang Rangers FC, Murilo Saad (tengah) pada perlawanan dengan Shah Alam City. - Foto PRFC

Casas tak panik

KUANTAN: Jurulatih skuad Pahang Rangers FC, Gerard Casas tidak cemas apabila skuad kendaliannya sekadar seri 6-6 ketika menentang Shah Alam City pada saingan pembukaan Liga Futsal Perdana Kebangsaan Malaysia (MPFL) di gelanggang lawan semalam.

Mendahului lawan 2-0 pada awal permainan tidak mampu meletakkan juara berganda musim lalu itu pada kedudukan selesa sebaliknya mereka hampir kecundang apabila dua kali ketinggalan sebelum dapat menyamakan kedudukan.

Menurut Casas, secara keseluruhan pemain memberi persembahan terbaik apabila berjaya mencipta enam gol menerusi pemain import Felipe De Souza pada minit keempat diikuti Muhammad Amirul Khairuddin (m5), Harith Naim Mohd Nasir (m19, 22, 39) dan Murilo Saad (38)

"Pemain telah memberi persembahan diharapkan terutama apabila berjaya menghasilkan dua gol dalam masa lima minit permainan, cuma selepas itu lawan mula bangkit mendapatkan gol.

"Saya tidak menyalahkan pemain walaupun kita hanya mampu berkongsi mata dengan lawan, mungkin perlawanan selepas ini berakhir dengan kejayaan," katanya.

Justeru, Casas berharap pemainnya dapat bangkit mencipta kemenangan pada perlawanan kedua bertemu Selangor FC di tempat sendiri, Ahad depan.

Berita Harian X