Sabtu, 17 Februari 2024 | 5:55pm
Nooa Laine menjalani latihan bersama Selangor. - Foto FB Selangor FC
Nooa Laine menjalani latihan bersama Selangor. - Foto FB Selangor FC

Pemain Selangor mula 'bekerja'

KUALA LUMPUR: Selangor FC (SFC) sudah mula 'bekerja' apabila pemain kembali menjalani sesi latihan rasmi sebagai persediaan pramusim untuk menghadapi musim baharu, Mei depan.

Semua pemain termasuklah pemain baharu turut menyertai sesi latihan untuk mendapatkan kecergasan mereka selangkah demi selangkah.

Pengendali The Red Giants, Tan Cheng Hoe berpuas hati dengan keadaan positif dalam bilik persalinan pasukan bimbingannya itu setakat ini.

"Sesi latihan kami setakat ini berada di tahap yang baik. Saya lihat pemain sangat bermotivasi tinggi dan ia menghidupkan suasana yang baik dalam pasukan.

"Pada masa yang sama, barisan kejurulatihan sudah merancang berkenaan jadual latihan dengan teliti supaya kecergasan mereka sentiasa berada di tahap yang terbaik untuk menempuhi sesi pramusim yang agak panjang kali ini," kata Cheng Hoe menerusi laman rasmi SFC.

Dalam masa sama, Cheng Hoe juga melihat barisan pemain baharu seperti Ronnie Fernandez, Alvin Fortes, Nooa Laine dan Azim Al Amin dapat menyesuaikan diri dengan baik.

"Mereka tidak mengambil masa yang lama untuk mendapat keserasian bersama rakan sepasukan yang lain.

"Ini satu petanda yang di mana bekerjasama antara satu sama lain dapat dilihat di antara mereka. Saya tidak sabar untuk memulakan musim ini," katanya.

Ketika ini, pemain kebangsaan masih diberikan rehat dan mereka akan melaporkan diri pada minggu hadapan.

Berita Harian X