Sabtu, 17 Februari 2024 | 2:17pm
Xabi Alonso mengemudi Bayer Leverkusen dari kedudukan hampir tercorot ke tangga teratas Bundesliga dalam tempoh 16 bulan. – Foto REUTERS
Xabi Alonso mengemudi Bayer Leverkusen dari kedudukan hampir tercorot ke tangga teratas Bundesliga dalam tempoh 16 bulan. – Foto REUTERS

Alonso jurulatih generasi baharu 'menonjol' - Klopp

LONDON: Xabi Alonso seorang bakat luar biasa daripada kalangan generasi baharu pengurus mengambil kira rekod cemerlangnya di Bayer Leverkusen, kata pengurus Liverpool, Jurgen Klopp yang akan meninggalkan kelab itu tidak lama lagi.

Bekas pemain tengah Liverpool dan Real Madrid itu sudah dikaitkan dengan kekosongan jawatan di Anfield selepas Klopp mengumumkan bulan lalu beliau akan meletak jawatan pada hujung musim ini.

Alonso mengemudi Leverkusen daripada kedudukan hampir tercorot Bundesliga kepada mendahului lima mata di puncak dalam tempoh 16 bulan.

Jurulatih berusia 42 tahun itu meraih tempat pada separuh akhir Piala Jerman dan menundukkan juara bertahan Bayern Munich 3-0 hujung minggu lalu.

"Apa yang sudah dilakukan Xabi adalah satu tugas yang luar biasa," kata Klopp semalam.

"Jika anda bertanyakan kepada saya lapan minggu lalu mengenai Xabi Alonso, saya mungkin berkata 'Oh Tuhanku!' Seperti yang selalu saya katakan, dinosaur jika anda mahu, Ancelotti (Carlo), Mourinho (Jose), Guardiola (Pep), mungkin saya, kami tidak akan melakukannya – okay, mungkin Mourinho - tetapi selebihnya tidak akan melakukannya bagi tempoh 20 tahun akan datang.

"Generasi baharu sudah ada di sana dan saya boleh katakan Xabi amat menonjol di bahagian itu... Bekas pemain bertaraf dunia, daripada keluarga jurulatih juga boleh membantu, beliau sendiri sudah seperti seorang jurulatih ketika beliau bermain. Bola sepak yang dimainkannya, pasukan yang dibentuknya, perpindahan yang dilakukannya ia jelas luar biasa."

Klopp menambah beliau tidak terbabit dengan pencarian penggantinya yang akan diputuskan oleh pemilik kelab Merseyside itu.

Pengendali berusia 56 tahun itu, yang turut bertindak cemerlang dalam liga Jerman bersama Borussia Dortmund sebelum ini, memuji Alonso yang pantas melaksanakan strateginya sekalipun hanya mengambil alih tugas itu pada Oktober 2022. – REUTERS

Berita Harian X