Khamis, 15 Februari 2024 | 8:46pm
Sebahagian peminat dan penyokong Terengganu FC (TFC) menyaksikan sesi latihan pertama TFC di Pusat Latihan TFC, Gong Badak petang tadi. - NSTP/GHAZALI KORI
Sebahagian peminat dan penyokong Terengganu FC (TFC) menyaksikan sesi latihan pertama TFC di Pusat Latihan TFC, Gong Badak petang tadi. - NSTP/GHAZALI KORI

Kerana Pawi dan Akhyar, peminat 'serbu' pusat latihan

KUALA TERENGGANU: Hampir 500 peminat setia skuad Terengganu FC (TFC) 'serbu' Pusat Latihan TFC, Gong Badak, bagi menyaksikan latihan pertama skuad itu petang tadi.

Paling mencuri tumpuan peminat setia skuad Penyu itu adalah bagi menyaksikan kelibat dua bekas tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid dan Akhyar Rashid.

Seorang peminat, Mohamad Afifi MD Ghazi, 30, berkata tarikh 15 Februari adalah hari yang dinantikanya bagi melihat aksi pertama skuad kesayangannya itu berlatih.

"Saya begitu teruja apabila dapat melihat dengan lebih dekat dua bekas tonggak JDT yang juga pemain kebangsaan iaitu Pawi (Safawi) dan Akhyar turut sama menjalani latihan pada petang ini.

"Apa yang kami harapkan pasukan TFC ini mampu merangkul sekurang-kurangnya satu trofi pada musim ini berdasarkan senarai pemain yang ada," katanya ketika ditemui.

Seorang lagi peminat yang dikenali Muhammad Anas, 16, berkata dia hadir semata-mata untuk menyaksikan Pawi dan Akhyar berlatih.

"Alhamdulillah, impian saya untuk melihat dua tonggak JDT itu beraksi bersama TFC akhirnya terjawab," katanya.

Selain Pawi dan Akhyar, turut menjalani sesi latihan pertama skuad itu termasuk dua tonggak import baharu iaitu Ismaheel Akinade dari Nigeria dan pertahanan kelahiran Belanda, Matthew Steenvoorden yang diumumkan petang tadi.

Selain itu, latihan yang dikendalikan oleh ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner dan pembantunya, Badrul Afzan Razali itu juga dihadiri bekas pemain Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Akram Mahinan; pertahanan Muhammad Azam Azmi Murad dan penjaga gol, Rahadiazli Rahalim.

Berita Harian X