Rabu, 14 Februari 2024 | 12:36pm
Nazmi ketika mengadili perlawanan antara Iraq menentang Vietnam pada Piala Asia baru-baru ini.
Nazmi ketika mengadili perlawanan antara Iraq menentang Vietnam pada Piala Asia baru-baru ini.

Peluang Nazmi cipta sejarah jadi pengadil utama di Piala Dunia

KUALA LUMPUR: Muhammad Nazmi Nasaruddin berpeluang mencipta sejarah sebagai pengadil pertama dari Malaysia dipilih sebagai pengadil utama di Piala Dunia selepas dipilih menyertai kursus 'Calon Piala Dunia Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) 2026'.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan memaklumkan Nazmi dipilih sebagai calon pengadil utama bagi Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico pada 11 Jun hingga 19 Julai 2026.

Nazmi yang mula menceburi bidang pengadil bola sepak sejak 2010 muncul pengadil Malaysia pertama mengadili perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) yang menggunakan Video Bantuan Pengadil (VAR) iaitu ketika perlawanan yang berlangsung pada 20 September 2023 di Thailand membabitkan Buriram United menentang kelab China, Zhejiang FC.

Sepanjang 2023 juga, Nazmi bersama dua pembantunya iaitu Mohamad Zairul Khalil Tan dan Mohd Arif Shamil Abd Rasid sudah mengadili enam perlawanan ACL yang menggunakan VAR.

Selain itu, Nazmi turut dijemput untuk mengadili beberapa perlawanan Liga Arab Saudi 2023.

Selaras dengan penetapan syarat FIFA dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di mana semua pengadil yang dilantik untuk perlawanan tertinggi AFC dan FIFA wajib memiliki lesen VAR, maka FAM memulakan usaha untuk memperoleh lesen pengadil VAR melalui program pintas latihan VAR.

Hubungan akrab di antara Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan Presiden Persekutuan Bolasepak Arab Saudi (SAFF), Yasser Al-Misehal membuka ruang buat Nazmi untuk dihantar ke Arab Saudi bagi mendapatkan Lesen VAR dan pada Ogos 2023, Nazmi diiktiraf sebagai pengadil VAR pertama di Malaysia oleh FIFA.

Seterusnya, dengan kelayakan itu selain prestasi cemerlang Nazmi di Piala Asia B-20 2023 di Uzbekistan pada Mac 2023 yang mana beliau dipilih sebagai pengadil final, ia membolehkan Nazmi bersama dua pembantunya, Zairul dan Arif Shamil terpilih ke Piala Asia 2023 di Qatar, baru-baru ini.

Sekali lagi sejarah tercipta apabila Nazmi bersama dua pembantunya itu dipilih untuk mengadili perlawanan peringkat kumpulan, Iraq menentang Vietnam dan perlawanan pusingan 16 terbaik, Uzbekistan menentang Thailand.

Selain itu, Zairul juga telah dipilih sebagai Penolong Pengadil 2 bagi perlawanan separuh akhir antara Iran menentang Qatar.

Prestasi cemerlang Nazmi dan dua pembantunya mendapat pengiktirafan daripada FIFA dan AFC sekali gus membolehkan Nazmi dipilih secara merit sebagai 'Calon Piala Dunia FIFA 2026.'

Nazmi dipilih untuk kursus yang berlangsung bermula 25 hingga 29 Februari di Qatar yang menyaksikan dia akan diuji menerusi beberapa siri kursus anjuran FIFA dan AFC termasuk perlawanan-perlawanan anjuran FIFA dan AFC sebagai syarat pemilihan secara merit ke Piala Dunia 2026.

FAM akan terus memberi segala bantuan dan sokongan dari aspek perancangan latihan serta bantuan kepakaran ilmu pengadil kepada trio negara ini agar misi meletakkan Nazmi sebagai pengadil utama dan pertama dari Malaysia di Piala Dunia, kejohanan bola sepak dunia yang berprestij tinggi akan tercapai.

Sebelum ini, Malaysia memiliki pengadil yang bertugas di Piala Dunia 2010 iaitu Subkhiddin Mohd Salleh sebagai pegawai keempat sebelum terbabit dengan Piala Dunia 2014 dan 2018 selaku Instruktur Teknikal Pengadil.

Subkhiddin turut bertugas di Piala Dunia 2022 apabila bertanggungjawab merancang persiapan pengadil dari aspek teknikal, menganalisis prestasi pengadil, memberi penjelasan teknikal kepada pemain dan pegawai pasukan bertanding serta memberi maklum balas mengenai prestasi pengadil sepanjang kejohanan.

Berita Harian X