Selasa, 13 Februari 2024 | 9:01pm
Bekas penyerang Kelantan United, Ismaheel Akinade mengikat kontrak satu musim bersama Terengganu FC hari ini. – Foto Terengganu FC
Bekas penyerang Kelantan United, Ismaheel Akinade mengikat kontrak satu musim bersama Terengganu FC hari ini. – Foto Terengganu FC

Akinade sah milik TFC

KUALA TERENGGANU: Selepas mengikat dua pemain kebangsaan semalam, Terengganu FC (TFC) memperkenalkan tonggak import baharunya dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) 2024/2025.

Menerusi kenyataan rasmi media skuad itu sebentar tadi, penyerang kelahiran Nigeria, Ismaheel Akinade menjadi pilihan ketua jurulatih Tomislav Steinbruckner bagi memastikan taji skuad itu lebih tajam.

Ketua Pegawai Eksekutif TFC Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas berkata, bekas pemain Kelantan United musim lalu itu diikat selama satu musim.

Jelas Sabri, kehadiran pemain berketinggian 1.90 meter yang juga pernah menyarung jersi skuad Kelantan FC pada musim lalu adalah bagi mengisi kuota import bebas.

"Pemain import yang mampu beraksi di posisi tengah dan serangan itu menjadi pilihan ketua jurulatih bagi memperkasakan lagi jentera depan pasukan dalam saingan kali ini.

"Pemain yang bakal mengisi kuota pemain import bebas itu dijangka bakal bergandingan dengan penyerang kelahiran Croatia, Ivan Mamut selain dua pemain tempatan, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid."

Berita Harian X