Selasa, 13 Februari 2024 | 4:34pm
Garrido (kanan) dilantik jadi ketua jurulatih skuad B-20.
Garrido (kanan) dilantik jadi ketua jurulatih skuad B-20.

Garrido pegang dua jawatan

KUALA LUMPUR: Pengendali skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Juan Torres Garrido perlu bekerja 'lebih masa' selepas jurulatih dari Sepanyol itu akan turut mengendalikan skuad B-20 tahun negara selepas ini.

Ini sekali gus menyaksikan Garrido berdepan tanggungjawab lebih besar memandangkan dia memegang 'kunci' ke atas kelompok pemain muda yang bakal menjadi pelapis untuk skuad kebangsaan pada masa akan datang.

Perkembangan itu diumumkan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi pada sidang media selepas Mesyuarat EXCO di Wisma FAM, hari ini.

"Jawatankuasa Eksekutif FAM meluluskan bahawa Juan Torres akan mengendalikan skuad B-20 sebagai ketua jurulatih. Juan Torres kini turut memegang jawatan sebagai ketua jurulatih skuad B-23.

"Juan Torres Garrido mengendalikan skuad B-20 yang akan menghadapi kejohanan AFF yang dijadual pada Jun 2024 dan Kelayakan Piala Asia pada September 2024," kata Yusoff.

Sebagai rekod, Garrido dipilih sebagai pengendali skuad B-23 pada Oktober lalu bagi menggantikan penyandangnya, E Elavarasan yang melepaskan jawatannya untuk fokus bagi tugasan bersama skuad Harimau Malaya.

Pengendali berusia 44 tahun itu sebelum ini adalah pembantu kepada Elavarasan dan dengan turun dibantu oleh bekas pemain kebangsaan, Shukor Adan di skuad B-23.

Tugasan penting Garrido selepas ini adalah Piala Asia B-23 2024 yang akan berlangsung di Doha, Qatar, April ini.

Pada saingan terbabit, skuad Harimau Muda diundi dalam Kumpulan D bersama Uzbekistan, Vietnam dan Kuwait.

Berita Harian X