Isnin, 12 Februari 2024 | 8:30pm
Ronnie Fernandez antara pemain baharu yang sertai Selangor musim ini.
Ronnie Fernandez antara pemain baharu yang sertai Selangor musim ini.

Selangor jangan mimpi 'potong' JDT

KUALA LUMPUR: Naib juara Liga Super musim lalu, Selangor FC (SFC) muncul sebagai antara pasukan yang 'sibuk' pada jendela perpindahan kali ini apabila rancak memperkenalkan beberapa pemain baharu mereka bagi musim 2024/25.

Antara muka baharu yang direkrut 'The Red Giants' setakat ini adalah tiga pemain import iaitu pemain pertahanan, Umarbek Eshmurodov; penyerang Chile, Ronnie Fern√°ndez serta pemain sayap, Alvin Fortes.

Selain itu, mereka turut mendapatkan dua pemain muda iaitu penjaga gol, Azim Al Amin dan juga pemain berdarah kacukan, Nooa Laine yang dipinjamkan oleh SJK Seinajoki selama setahun dengan pilihan dibeli secara tetap.

Justeru, kemasukan beberapa muka baharu ini jelas membuatkan penyokong SFC teruja sekali gus membayangkan betapa skuad bimbingan Tan Cheng Hoe mampu 'meletup' pada musim 2024/25 yang akan bermula, Mei depan.

Bagaimanapun, jurulatih berpengalaman, Sulaiman Hussin menjangkakan skuad 'Gergasi Merah' masih belum cukup kuat untuk menamatkan dominasi Johor Darul Ta'zim (JDT) yang dilihat akan terus mengekalkan status sebagai kuasa besar bola sepak domestik.

Ini kerana bekas pengendali UKM FC itu melihat perbezaan ketara antara kedua-dua pasukan adalah kualiti pemain tempatan yang bakal menjadi tonggak bagi membawa cabaran kedua-dua pasukan pada musim depan.

"Saya melihat serancak manapun SFC membeli-belah, kelompok pemain tempatan terbaik tetap ada di JDT. Pembelian JDT pun luar biasa juga dan kalau SFC ada pemain import, mereka pun sama.

"Jadi saya lihat belum lagi masanya SFC mampu tamatkan dominasi JDT, tetapi kalau untuk gegarkan mereka, mungkin boleh di mana perkembangan ini akan membuatkan JDT lebih berhati-hati pada musim depan," kata Sulaiman.

Dalam perkembangan sama, bekas pembantu jurulatih Kuching City FC (KCFC) itu mengharapkan SFC dapat terus melakar konsistensi sekali gus dapat membantu mereka memberi cabaran yang sengit khususnya kepada JDT.

"Kita tidak mahu mereka hanya bagus lawan pasukan lain tetapi terkulai apabila lawan JDT. Kalau mereka kalah 4-0 sebelum ini, mungkin musim depan mereka boleh jadi lebih baik, misalnya dapat seri.

"Mereka tidak boleh terbuai dengan harapan tinggi dan pujian daripada penyokong. Pemain baharu juga perlu buktikan bahawa mereka pembelian yang berbaloi," katanya.

Berita Harian X