Isnin, 12 Februari 2024 | 4:58pm
Pemain Harimau Malaya meraikan kejayaan mengikat Korea Selatan 3-3 pada aksi terakhir kumpulan Piala Asia.
Pemain Harimau Malaya meraikan kejayaan mengikat Korea Selatan 3-3 pada aksi terakhir kumpulan Piala Asia.

Ranking Harimau Malaya dijangka turun dua anak tangga

KUALA LUMPUR: Prestasi kurang memberangsangkan Harimau Malaysia di Piala Asia 2023 yang menyaksikan mereka pulang awal dijangka menyebabkan kedudukan ranking mereka turun dua anak tangga ke-132 dunia.

Berdasarkan laman sesawang Footy Rankings, skuad bimbingan Kim Pan Gon susut 12.79 mata selepas tewas 0-4 di tangan naib juara Piala Asia, Jordan dan tewas tipis 0-1 di tangan Bahrain.

Meskipun berjaya mengikat Korea Selatan 3-3 namun mata yang dihimpun belum cukup untuk menampung kehilangan mata susulan dua kekalahan pada aksi Kumpulan E di Qatar itu.

Pencapaian itu menyaksikan skuad negara kini menghimpun 1,110.08 mata berbanding 1,122.87 mata pada kemaskini rasmi Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebelum ini.

Bagi ranking untuk tiga lagi pasukan ASEAN yang turut berentap di Piala Asia 2023, dua pasukan yang layak ke pusingan kalah mati iaitu Thailand dan Indonesia masing-masing berjaya memperbaiki ranking.

Thailand dijangka melonjak 12 anak tangga ke tangga-101 dunia sementara Indonesia naik empat anak tangga untuk berada pada kedudukan ke-142 dunia.

Vietnam yang sebelum ini berada di tangga ke-94 dunia jatuh 12 anak tangga untuk berada pada kedudukan ke-106 selepas mereka kehilangan mata terbanyak (41 mata) susulan tewas semua tiga perlawanan di peringkat kumpulan.

Juara Asia, Qatar bakal menikmati lonjakan ranking tertinggi apabila kejayaan mempertahankan Piala Asia membolehkan mereka mendaki 21 anak tangga daripada 58 kepada 37 dunia.

Lonjakan itu dibantu selepas skuad bimbingan Marquez Lopez itu mengutip mata terbanyak iaitu 92.13 mata selepas memenangi semua perlawanan di Piala Asia 2023.

Begitu juga dengan Jordan yang bakal berada pada kedudukan ke-73 daripada 87 dengan peningkatan sebanyak 14 anak tangga.

Berita Harian X