Isnin, 12 Februari 2024 | 12:40pm
Safawi Rasid (kiri) dan Akhyar Rashid.
Safawi Rasid (kiri) dan Akhyar Rashid.

Jersi nombor 11 untuk Safawi, Akhyar dapat jersi 33

KUALA TERENGGANU: Spekulasi mengenai kehadiran dua tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid dan Akhyar Rashid bersama naib juara Piala Malaysia musim lalu, Terengganu FC (TFC) akhirnya terjawab.

Menerusi kenyataan media rasmi kelab Pantai Timur itu sebentar tadi, dua penyerang kebangsaan itu sah menjadi milik skuad Penyu dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas berkata, dua penyerang itu diikat masing-masing selama setahun secara pinjaman.

Jelas Mohd Sabri, jika tiada sebarang masalah, dua pemain paling bernilai itu bakal menjalani latihan pertamanya bersama skuad Penyu bermula 15 Februari ini.

"Selepas menanti dengan penuh sabar, dua pemain itu (Safawi dan Akhyar) sah menjadi milik skuad TFC dalam mengharungi kancah Liga M 2024/2025, dua pemain itu 'dirantai' selama semusim secara pinjaman daripada JDT.

"Safawi yang juga bekas pemain kelab dari Terengganu, T-Team akan menyarung jersi bernombor 11 manakala pemain kelahiran Kedah, Akhyar akan memakai jersi bernombor 33 pada musim ini.

"Kita meletakkan impian yang tinggi kehadiran tonggak JDT dan kebangsaan itu mampu memperkasakan lagi terutama jentera serangan pasukan pada musim ini dalam misi mengintai sekurang-kurangnya satu trofi.

"Pada masa sama kita juga mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada pemilik kelab JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) kerana membenarkan dua pemain itu beraksi bersama TFC secara pinjaman," kata Mohd Sabri.

Kehadiran Safawi bagaikan sireh pulang ke gagang selepas tujuh tahun berkelana di luar Terengganu mencari rezeki.

Safawi dan Akhyar adalah dua pemain yang berada dalam perancangan ketua jurulatih, Tomislav Steibruckner bagi projek musim baharu TFC selain bekas pemain tengah Kuala Lumpur City FC (KL CITY FC), Akram Mahinan yang sudah menandatangani kontrak sebelum ini.

Berita Harian X