Isnin, 12 Februari 2024 | 10:20am
Bukayo Saka meledak dua gol ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang West Ham di Stadium London, London. - Foto REUTERS
Bukayo Saka meledak dua gol ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang West Ham di Stadium London, London. - Foto REUTERS
Pemain Arsenal, Declan Rice (tengah) meraikan jaringan ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang kelab lamanya, West Ham di Stadium London, London. - Foto REUTERS
Pemain Arsenal, Declan Rice (tengah) meraikan jaringan ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang kelab lamanya, West Ham di Stadium London, London. - Foto REUTERS
Pengendali West Ham, David Moyes (kiri) dan pengendali Arsenal, Mikel Arteta ketika aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium London, London. - Foto REUTERS
Pengendali West Ham, David Moyes (kiri) dan pengendali Arsenal, Mikel Arteta ketika aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium London, London. - Foto REUTERS

Arteta sudah jangka mampu belasah West Ham

LONDON: Kemenangan besar Arsenal ke atas West Ham tidak mengejutkan pengendalinya, Mikel Arteta yang sudah dapat merasakan anak buahnya mampu menewaskan seteru London itu.

The Gunners menang 6-0 di Stadium London - kemenangan Liga Perdana Inggeris terbesar mereka di tempat lawan - untuk terus menjadi pesaing kejuaraan musim ini bersama Manchester City dan Liverpool.

Ia sekali gus menebus kekecewaan tewas 2-0 di laman sendiri di tangan West Ham pada Disember dan kekalahan Piala Liga kepada anak buah David Moyes pada November.

"Masa untuk menewaskan West Ham, kami semua mengetahuinya. Kami sudah dapat merasakannya dan sedar ia akan menjadi perlawanan yang sukar.

"Kami perlu melakukan beberapa perkara berbeza di dalam kedua-dua kotak berbanding apa yang kami lakukan pada perlawanan sebelum ini. Hari ini kami melakukannya," kata Arteta.

Kekalahan Liverpool minggu lalu kembali meletakkan Arsenal dalam persaingan kejuaraan tetapi kunjungan ke West Ham sedikit merisaukan berdasarkan rekod pertemuan lalu.

Namun Arsenal melakar babak baharu dengan seteru London itu apabila Bukayo Saka meledak dua kali dan Declan Rice melakukan dua umpanan serta meledak satu gol ke atas bekas kelabnya untuk anak buah Arteta merapatkan jurang kepada dua mata di belakang Liverpool dan menyamai kutipan mata City.

Saka menyempurnakan sepakan penalti untuk meletakkan Arsenal 2-0 di depan, jaringan ke-50nya dan menjadi pemain termuda (22 tahun) mencapai angka itu untuk kelab sejak tahun 1978.

William Saliba, Gabriel Magalhaes dan Leandro Trossard turut menemui sasaran untuk Arsenal. - REUTERS

Berita Harian X