Ahad, 11 Februari 2024 | 10:15pm
Pemain Jordan, Noor al-Rawabdeh (tengah) yang beraksi bersama Selangor dalam Liga M cuba dihalang dua pemain Qatar pada final Piala Asia malam tadi. - AFP
Pemain Jordan, Noor al-Rawabdeh (tengah) yang beraksi bersama Selangor dalam Liga M cuba dihalang dua pemain Qatar pada final Piala Asia malam tadi. - AFP

Liga M dapat 'limpahan rahmat' Piala Asia

KUALA LUMPUR: Meskipun skuad Harimau Malaya pulang awal dari kempen Piala Asia 2023, saingan Liga Malaysia (Liga M) tetap mendapat 'tempiasnya' susulan kejayaan Jordan muncul naib juara malam tadi.

Ini selepas pasukan itu memiliki dua pemain yang sedang aktif bersaing dalam kancah tempatan iaitu Noor Al-Rawabdeh (Selangor FC) dan Fadi Awad (PDRM FC) serta dua bekas pemain iaitu Yazan Al-Arab (SFC) dan Mahmoud Al-Mardi (Kedah Darul Aman FC).

Al-Rawabdeh, Al-Arab dan Al-Mardi menjadi tonggak utama Jordan di Piala Asia 2023 dan turut membarisi kesebelasan utama pada final di Stadium Lusail yang menyaksikan mereka tumbang 1-3 di tangan juara bertahan, Qatar.

Selain empat pemain Jordan itu, beberapa pemain import Liga M yang turut beraksi di Piala Asia 2023 adalah Sonny Saad dari Lubnan yang beraksi bersama Penang FC, Jordi Amat (Indonesia) dan Jalil Elias (Syria) kedua-duanya beraksi bersama Johor Darul Ta'zim serta Moses Atede (Bahrain/Kedah Darul Aman FC).

Seorang lagi bekas pemain Kedah Darul Aman FC, Amirbek Juraboev terlepas panggilan menyertai Tajikistan susulan kecederaan buku lali.

Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli menyifatkan senario itu memberi 'limpahan rahmat' dengan signifikan yang besar khususnya kepada Liga M itu sendiri.

Malah, ia turut memberi isyarat betapa pasukan yang mengambil ataupun pernah menggunakan khidmat pemain itu membuat percaturan yang tepat dan bersaing di Liga M dapat membantu mereka mencapai prestasi terbaik bagi bersaing di Piala Asia 2023.

"Apa yang boleh kita nampak adalah perkara ini sedikit sebanyak menunjukkan bahawa pemain import berkualiti menabur bakti di negara ini. Pasukan yang mengambil khidmat mereka mengambil import yang benar-benar ada standard.

"Kita lihat pemain ini menjadi penggerak utama sehingga mereka membawa Jordan ke final Piala Asia 2023. Secara tidak langsungnya, signifikannya adalah ini memberi gambaran bahawa liga kita bukanlah berada di kelas rendah.

"Kalau liga kita kelas rendah, pasti prestasi mereka biasa-biasa sahaja tetapi pencapaian mereka kali ini membuktikan bahawa tahap kompetitif Liga M mungkin sedikit sebanyak membantu mereka mengekalkan prestasi," kata Pekan.

Sebelum ini, sebuah laman sesawang, teamform menyatakan Liga Super berada pada tangga ke-39 dalam kedudukan liga di benua Asia dan kedudukan itu jauh lebih rendah berbanding kedudukan Liga 2 Thai (31) dan Liga 1 Indonesia (38).

Dalam perkembangan lain, Pekan turut melihat kehadiran pemain Jordan itu mampu melonjakkan 'jenama' Liga M dan dapat membuka mata lebih ramai pihak sekali gus menarik minat ramai pemain untuk berkelana di sini.

"Saya lihat ini satu 'branding' yang bagus kerana apabila seseorang pemain itu menyerlah bersama skuad kebangsaan, pasti orang akan tercari-cari di liga mana mereka bermain.

"Ini juga dapat menjadi tarikan bukan sahaja kepada pemain Jordan malah pemain lain untuk turut mencuba nasib di Liga M. Ini juga satu pengiktirafan secara tidak langsung kepada kemampuan liga tempatan," katanya.

Berita Harian X