Ahad, 11 Februari 2024 | 9:00pm
Nooa sertai Selangor secara pinjaman selama semusim.
Nooa sertai Selangor secara pinjaman selama semusim.

Selangor 'untung besar' sambar Nooa

KUALA LUMPUR: Selangor FC (SFC) mungkin boleh dianggap 'untung besar' selepas berjaya mengikat pemain berdarah kacukan, Nooa Laine yang dijangka mampu memperkuat jentera tengah pasukan itu bagi mengharungi musim 2024/25.

Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Fauzi Pilus melihat kehadiran pemain warisan Malaysia-Finland berusia 21 tahun itu boleh mengisi kekosongan ditinggalkan pemain veteran, Brendan Gan dengan pemain SJK Seinajoki terbabit memiliki kualiti bagi membantu 'The Red Giants'.

Fauzi turut menganggap kemasukan pemain muda itu mampu 'menyegarkan' jentera tengah apatah lagi pilihan pemain di posisi nombor enam agak terhad khususnya dalam pasaran tempatan.

"Kita memang kekurangan pemain nombor enam (tengah bertahan) dan mungkin sebab inilah SFC melihat Nooa sebagai pilihan terbaik untuk menjadi injap dan enjin di bahagian tengah khususnya bagi memenangi bola dan transisi dalam perlawanan.

"Brendan antara pemain yang terbaik pada posisi itu namun dia sudah berusia dan tidak lagi bersama SFC pada musim depan. Jadi Nooa mungkin pengganti kepada Brendan yang lebih muda dan bertenaga untuk menjalankan strategi dirancang.

"Berdasarkan pengalamannya di Eropah, ini memberikan satu lagi nilai tambah buat Nooa. Kehadiran dia juga pasti memberi lebih banyak pilihan untuk barisan kejurulatihan.

"Dia pun masih muda, jadi dia ada daya ketahanan tinggi yang sesuai dengan tuntutan bola sepak moden yang lebih pantas apatah lagi mereka akan bermain di peringkat Asia nanti.

"Apa yang penting adalah Nooa perlu pastikan pelaburan yang dibuat SFC ke atasnya berbaloi dan kalau dia menunjukkan persembahan yang cemerlang, ini secara tidak langsung membantu skuad kebangsaan juga," kata Fauzi.

Terdahulu, naib juara Liga Super musim lalu itu terus rancak merekrut pemain baharu bagi menghadapi musim 2024/25 apabila mengikat Nooa secara pinjaman selama setahun dengan pilihan untuk dibeli secara tetap.

Berita Harian X