Ahad, 11 Februari 2024 | 12:21pm
Saddil Ramdani (kanan) bersama bekas CEO Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir. – Foto Instagram @marzuki48
Saddil Ramdani (kanan) bersama bekas CEO Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir. – Foto Instagram @marzuki48

Saddil tidak ke Sydney kerana cedera

KOTA KINABALU: Penyerang Sabah FC, Saddil Ramdani terpaksa menjalani terapi susulan kecederaan dialaminya.

Pemain import dari Indonesia itu dikatakan tidak dapat menyertai pasukan ke Australia untuk berdepan Macarthur FC bagi separuh akhir Piala AFC, Selasa ini.

Perkhabaran itu dikongsikan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir menerusi laman Instagram beliau yang turut memaparkan gambarnya bersama Saddil, semalam.

"Semoga cepat sembuh @saddilramdani dan dipermudahkan segala urusan terapinya," katanya menerusi perkongsian berkenaan.

Bagaimanapun, tiada penjelasan berhubung terapi yang perlu dijalani Saddil, namun difahamkan ia berkaitan dengan kecederaan yang dialaminya.

Sabah FC selamat tiba di Sydney petang kelmarin, tiga hari sebelum menentang Macarthur pada separuh akhir Piala AFC Zon ASEAN di Stadium Campbelltown, Selasa ini.

Difahamkan, rombongan skuad Sang Badak tiba di negara itu pada jam 5 petang kelmarin diketuai Pengarah Sabah FC, Mohd Joh Wid.

Berita Harian X