Ahad, 11 Februari 2024 | 9:34am
Ketua jurulatih Afrika Selatan, Hugo Broos dijulang pemainnya selepas mereka memenangi tempat ketiga Piala Negara-Negara Afrika 2024 dengan menundukkan DR Congo menerusi penentuan penalti di Stadium Felix Houphouet-Boigny, Abidjan awal pagi tadi. – Foto AFP
Ketua jurulatih Afrika Selatan, Hugo Broos dijulang pemainnya selepas mereka memenangi tempat ketiga Piala Negara-Negara Afrika 2024 dengan menundukkan DR Congo menerusi penentuan penalti di Stadium Felix Houphouet-Boigny, Abidjan awal pagi tadi. – Foto AFP

Afrika Selatan raih tangga ketiga di Afrika

ABIDJAN: Kapten dan penjaga gol Ronwen Williams muncul wira sekali lagi apabila Afrika Selatan menundukkan Republik Demokratik Congo 6-5 menerusi penentuan penalti pada perlawanan tempat ketiga Piala Negara-Negara Afrika awal pagi tadi.

Selepas terikat 0-0 dalam tempoh 90 minit di Abidjan, Williams menyelamatkan sepakan penalti Chancel Mbemba dan Meschack Elia untuk menghadiahkan Bafana Bafana pingat gangsa di Ivory Coast.

Sebelum sepakan Elia diselamatkan, Siyanda Xulu menyempurnakan sepakan buat Afrika Selatan yang ternyata menjadi kelebihan mereka ketika penentuan penalti.

Williams menyelamatkan empat sepakan penalti hujung minggu lalu untuk membantu Afrika Selatan menyingkirkan Cape Verde selepas seri tanpa jaringan pada suku akhir.

DR Congo pasti menyesali kegagalan menyempurnakan banyak peluang pada masa sebenar dalam perlawanan yang menarik manakala Afrika Selatan mengekalkan rekod sempurna pada penentuan tempat ketiga selepas menundukkan Tunisia menerusi penentuan penalti 24 tahun lalu.

Kejohanan menarik itu berakhir awal pagi esok di satu lagi stadium di Abidjan dengan tuan rumah Ivory Coast berdepan Nigeria bagi merebut hadiah juara AS$7 juta (RM33.3 juta).

Kedua-dua negara itu bertembung di peringkat kumpulan bulan lalu di gelanggang sama dengan Super Eagles menang 1-0 menerusi gol penalti William Troost-Ekong. – AFP

Berita Harian X