Ahad, 11 Februari 2024 | 7:45am
Penyerang Liverpool, Darwin Nunez (tengah) menanduk masuk gol ketiga menentang Burnley pada aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield, Liverpool lewat malam tadi. – Foto REUTERS
Penyerang Liverpool, Darwin Nunez (tengah) menanduk masuk gol ketiga menentang Burnley pada aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield, Liverpool lewat malam tadi. – Foto REUTERS

Klopp lega menang dalam keperitan

LIVERPOOL, England: Liverpool kembali ke puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) menerusi kemenangan perit 3-1 ke atas Burnley yang diancam penyingkiran lewat malam tadi selepas juara bertahan Manchester City menggantikan mereka buat seketika di tangga teratas.

Kelab Anfield itu memburu untuk menyamakan rekod 20 kejuaraan liga utama Inggeris pada musim terakhir Jurgen Klopp sebagai pengendali tetapi sekali lagi mendapati City mengekori mereka.

Liverpool tidak berada pada tahap terbaik mereka menentang anak buah Vincent Kompany namun cukup untuk memastikan kemenangan dengan Klopp menganggap ia hari "paling sukar."

City, yang terdahulu mengalahkan Everton 2-0, berada dua mata di belakang Liverpool dengan beraksi kurang satu perlawanan ketika mereka mengintai peluang meraih kejuaraan liga utama Inggeris buat kali keempat berturut-turut.

The Reds dihadiahkan gol pendahuluan apabila penjaga gol Burnley, James Trafford gagal menangkap bola kemas susulan sepakan sudut Trent Alexander-Arnold dan Diogo Jota menanduk masuk gol kesembilan buatnya dalam EPL musim ini.

Penyerang Liverpool, Luis Diaz (kiri) meraikan gol kedua bersama Darwin Nunez ketika menentang Burnley pada aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield, Liverpool lewat malam tadi. – Foto REUTERS
Penyerang Liverpool, Luis Diaz (kiri) meraikan gol kedua bersama Darwin Nunez ketika menentang Burnley pada aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield, Liverpool lewat malam tadi. – Foto REUTERS

Namun mereka terkedu sejurus sebelum rehat apabila Dara O'Shea melakukan satu tandukan padu melepasi penjaga gol Liverpool, Caoimhin Kelleher, yang menggantikan Alisson Becker, tidak beraksi kerana kurang sihat.

Liverpool, beraksi di depan rekod penonton liga di Anfield hampir 60,000 selepas gelanggang diperbesarkan, tampil berbeza pada babak kedua dan menuai hasil apabila Luis Diaz meletakkan mereka kembali di depan menerusi tandukan pada minit ke-52.

Pelawat mencipta beberapa peluang untuk menyamakan kedudukan sebelum tandukan Darwin Nunez susulan hantaran silang Harvey Elliott memastikan kemenangan penting itu.

"Ia bukan hanya tiga mata," kata Klopp kepada BBC. "Anda tidak boleh menjamin momentum sepanjang masa.

"Sembilan hari lalu kami bermain luar biasa menentang Chelsea kemudian kami tewas kepada Arsenal. Ia sering kali cabaran yang berbeza. Jika ia tidak menjadi seperti yang diinginkan, perlu berjuang untuk melepasinya.

"Ia benar-benar sukar hari ini tetapi pemain saya berjuang dan meraih tiga mata." – AFP

Berita Harian X