Sabtu, 10 Februari 2024 | 3:15pm
Nooa menyertai Selangor secara pinjaman selama setahun dengan pilihan membelinya dari kelab SJK Seinajoki selepas tempoh pinjaman tamat
Nooa menyertai Selangor secara pinjaman selama setahun dengan pilihan membelinya dari kelab SJK Seinajoki selepas tempoh pinjaman tamat

Video Nooa buat Selangor bertambah popular

KUALA LUMPUR: Selepas Liga Malaysia (Liga M) dan Selangor FC (SFC) menjadi sebutan dek 'penangan' beberapa pemain Jordan layak ke final Piala Asia 2023, nama 'The Red Giants' sekali lagi menjadi tumpuan di laman media sosial.

Ini susulan klip pendek SFC untuk memperkenalkan pemain baharunya, Nooa Laine menarik perhatian laman media sosial bola sepak antarabangsa, Copa90.

Copa90 yang memiliki lebih 225,000 pengikut di plaform X mengulang ciap klip pendek terbabit apabila 'The Red Giants' menciap 'memperkenalkan pemain nombor enam baharu kami'.

Copa90 yang mengulang ciap klip terbabit turut berkata 'video mendedahkan pemain baharu SFC memberikan kita aura seperti I AM PLAYR.'

Setakat jam 3 petang tadi, ciapan itu sudah menerima lebih 1,100 ulang ciap dan lebih 1,900 tanda suka daripada pelayar Internet.

Sebagai rekod, I AM PLAYR adalah permainan video bola sepak dengan elemen sosial media dan boleh didapati di platform Facebook.

Susulan itu, platform X SFC terus berinteraksi dengan Copa90 dengan berkata 'terima kasih dan tanda sayang daripada kami semua di SFC'.

Terdahulu, klip pendek dengan durasi seminit dan 16 saat itu menggunakan pandangan orang pertama (first person point of view) dan memaparkan seorang individu memandu kereta Proton dan tiba di pusat latihan SFC.

Individu itu kemudiannya bertemu dengan pengendali The Red Giants, Tan Cheng Hoe yang mengucapkan selamat datang kepada individu terbabit.

Pemain itu kemudiannya sempat beramah mesra bersama beberapa pemain SFC sebelum menuju ke loker persalinan yang berisi persalinan SFC.

Individu itu kemudiannya menukar kepada jersi dan seluar SFC sebelum video mendedahkan individu terbabit adalah Nooa.

Semalam, SFC mengumumkan mengikat pemain warisan Malaysia-Finland berusia 22 tahun itu secara pinjaman selama setahun.

Gergasi Merah turut mempunyai pilihan untuk membeli Noaa dari kelab Finland, SJK Seinajoki selepas tempoh pinjaman tamat.

Berita Harian X