Jumaat, 9 Februari 2024 | 7:45pm
Badrul Afzan Razali (kanan) kekal membantu ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner dalam skuad Terengganu FC (TFC) musim ini. - Foto TFC
Badrul Afzan Razali (kanan) kekal membantu ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner dalam skuad Terengganu FC (TFC) musim ini. - Foto TFC

Badrul Afzan kekal bantu Steinbruckner

KUALA TERENGGANU: Tiada perubahan dalam barisan kejurulatihan skuad Terengganu FC (TFC) apabila penolong jurulatih musim lalu, Badrul Afzan Razali kekal bersama ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner dalam mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) 2024/2025.

Bagaimanapun barisan kejurulatihan skuad 'adik', Terengganu FC II (TFC II) mengalami sedikit perubahan apabila penolong jurulatih musim lalu, Subri Sulong bakal diberi tugas baharu sebagai ketua jurulatih skuad Piala Presiden Terengganu.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas berkata, kejayaan yang membanggakan TFC selepas muncul naib juara Piala Malaysia musim lalu menyaksikan barisan kejurulatihan skuad utama kekal.

"Dalam saingan Piala MFL (Liga Bolasepak Malaysia), ada sedikit perubahan iaitu bekas penyerang kebangsaan, Haris Safwan Kamal bakal membantu ketua jurulatih, Hairuddin Omar dalam skuad TFC II.

"Seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Subri Sulong diberi tugas baharu sebagai ketua jurulatih skuad Piala Presiden yang akan dibantu Roshadi Wahab.

"Kita meletakkan harapan yang tinggi kepada semua jurulatih bagi memastikan skuad masing-masing mampu mara lebih jauh lagi pada musim ini selain mengharapkan Piala MFL kekal menjadi milik TFC II," ujar Mohd Sabri.

Musim lalu, skuad TFC II yang dibimbing Hairuddin dan pembantunya, Subri muncul edisi sulung Piala MFL selepas menumpaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) 1-0 hasil jaringan Muhammad Isa Raman, manakala skuad Piala Presiden gagal melangkah lebih jauh selepas terkandas di peringkat kumpulan.

Berita Harian X