Khamis, 8 Februari 2024 | 7:00pm
Peserta MILO Junior Champions League 2023 melawat ibu pejabat FAM.
Peserta MILO Junior Champions League 2023 melawat ibu pejabat FAM.

FAM, MILO cetus inspirasi remaja

KUALA LUMPUR: MILO bersama Persatuan Bolasepak Malaysia Malaysia (FAM) menganjurkan acara Ultimate Experience bagi memberikan inspirasi kepada pemain bola sepak kanak-kanak dan remaja di negara ini.

Program eksklusif yang berlangsung di ibu pejabat FAM itu membabitkan 106 peserta berusia antara enam hingga 16 tahun yang muncul sebagai pemenang dalam MILO Junior Champions League 2023.

Liga hasil inisiatif bersama anjuran MILO dan FAM itu disertai 9,000 remaja di seluruh negara dalam lima kategori berjaya memberikan mereka platform untuk menguji dan menyerlahkan kemahiran bola sepak masing-masing.

Susulan itu, juara kanak-kanak dan remaja terbabit dibawa untuk menikmati pengalaman terhebat di ibu pejabat FAM sambil menyelami dunia bola sepak.

Peserta diberi peluang unik menyertai kelas pakar bola sepak di bawah bimbingan jurulatih bola sepak kebangsaan yang berkongsi maklumat dan kemahiran berharga untuk meningkatkan prestasi permainan selain mereka turut dibawa melawat kemudahan canggih yang disediakan di ibu pejabat FAM.

Pengalaman ini turut meraikan kejayaan pasukan kebangsaan Malaysia yang melayakkan diri secara merit ke Piala Asia AFC 2023 selepas 42 tahun.

Pengurus Pemasaran Sukan MILO, Nestle (Malaysia) Berhad, Kerwin Lim menjelaskan, MILO berbesar hati dapat bekerjasama dengan FAM untuk membawakan pengalaman luar biasa dan memberi inspirasi kepada peserta.

"Malah acara ini lebih bermakna lagi sambil kita menyambut kejayaan terbaharu Harimau Malaya dalam sukan bola sepak.

"Sejak penubuhan kami pada 1950, MILO berpegang teguh kepada keyakinan untuk mencungkil bakat bola sepak muda hari ini dengan menyemai minat sejati dan juga membina nilai murni yang boleh membantu mereka dalam kehidupan mereka kelak," katanya.

Berita Harian X