Rabu, 7 Februari 2024 | 12:20pm
Antara aksi Liga Super membabitkan Kedah Darul Aman FC menentang Penang FC musim lalu. - NSTP/DANIAL SAAD
Antara aksi Liga Super membabitkan Kedah Darul Aman FC menentang Penang FC musim lalu. - NSTP/DANIAL SAAD

'Tak logik Liga Super bawah Liga 2 Thai'

KUALA LUMPUR: Tindakan laman sesawang teamform.com yang meletakkan Liga Super Malaysia di kedudukan ke-39 Asia dan berada di bawah Liga 2 Thai dianggap tidak logik.

Rating Teamform (TFR) terbabit dikatakan mewakili prestasi dan kemampuan setiap pasukan berpandukan keputusan perlawanan lampau menggunakan sistem rating sofistikated membabitkan model statistik dan juga formula matematik.

TFR didakwa bukan sahaja sistem ranking untuk menilai pencapaian berpasukan tetapi ia juga untuk menilai kemampuan sebenar pasukan bola sepak dan meramal keputusan sesuatu perlawanan.

Penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli bagaimanapun menjelaskan sekiranya melihat berdasarkan persembahan lalu, beberapa kelab Liga Super yang mewakili Malaysia di kejohanan peringkat Asia menampilkan aksi positif.

Pekan berkata, selain persembahan positif wakil negara di Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC, saingan Liga Super juga menjadi destinasi tumpuan buat pemain import termasuk mereka yang bernilai tinggi.

Justeru, beliau mengakui agak pelik dan mempersoalkan justifikasi atau penilaian sebenar yang dibuat laman berkenaan sehingga meletakkan Liga Super di bawah liga divisyen dua Thailand.

"Kalau lihat kepada nilai yang dikeluarkan dalam Transfermarkt.com atau laporan lain, liga kita antara yang terbaik di Asia Tenggara. Jadi, kenapa pula boleh duduk bawah Liga 2 Thai dan Liga Indonesia, sedangkan Indonesia pun puji liga kita.

"Kita tak tahu apa justifikasi mereka (teamform.com) buat. Saya takut mereka mengambil kira dari sudut negatif sahaja terutama isu berkaitan tunggakan gaji. Kalau yang itu pun kita tak pasti sama ada kita teruk berbanding negara Asia Tenggara yang lain.

"Namun, justifikasi yang mereka buat dilihat lebih kepada prestasi pasukan bertanding. Kalau secara peribadi, saya tak percaya kerana kalau dari aspek kualiti liga, pengurusan liga yang cekap, tumpuan pemain import, penajaan dan nilai liga, rasanya kita antara terbaik di Asia Tenggara.

"Sekiranya mengambil kira kualiti prestasi kelab, JDT (dalam ACL) pun mengatasi kelab liga utama Thailand, manakala Sabah dan Terengganu (Piala AFC) pun kalahkan kelab utama Indonesia dan Vietnam. Jadi rasanya (penilaian teamform.com) kurang tepat, justifikasi tak jelas, tak logik," katanya.

Semalam, BH Sukan melaporkan Liga Super berada pada tangga ke-39 dalam kedudukan liga di benua Asia bagi suku pertama 2024 seperti yang disenaraikan laman sesawang teamform.com.

Kedudukan ke-39 dengan rating 39.2 mata itu menyaksikan Liga Super berada pada tempat lebih rendah berbanding Liga 2 Jepun yang berada di kedudukan ke-15, Liga Kebangsaan Korea (21) dan Liga 3 Jepun (28).

Malah, Liga 2 Thai berada pada kedudukan ke-31 sementara divisyen dua Arab Saudi berada pada tangga ke-35.

Sebagai perbandingan untuk liga di ASEAN, Liga 1 Thailand berada pada kedudukan tertinggi iaitu tangga ke-17 dengan rating 56.3 diikuti Liga 1 Vietnam (34) dengan rating 41.1 mata.

Berita Harian X