Selasa, 6 Februari 2024 | 7:05pm
Aksi pemain import Pahang Rangers, Murilo Saad (kiri) pada pertemuan persahabatan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT), minggu lalu. NSTP/Mohd Rafi Mamat
Aksi pemain import Pahang Rangers, Murilo Saad (kiri) pada pertemuan persahabatan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT), minggu lalu. NSTP/Mohd Rafi Mamat

Pahang Rangers, JDT pencabar utama Divisyen 1 MPFL

KUANTAN: Kerancakan saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) musim ini dilihat sedikit terjejas berikutan hanya lapan pasukan sahaja bersaing berbanding 14 musim lalu.

Pada saingan musim ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga memperkenalkan Divisyen 1 yang akan membuka tirainya saingan pada 17 Februari ini.

Lapan pasukan berkenaan ialah juara berganda musim lalu Pahang Rangers FC diikuti Johor Darul Ta'zim (JDT), Selangor FC, KL City FC, Shah Alam City, Terengganu, Gombak TOT United FC dan Sabah FA.

Enam pasukan musim lalu iaitu Sarawak, Pulau Pinang, Kedah, PDRM, ATM dan KPT-PST-Mustags tidak dapat bersama musim ini.

Musim lalu, 14 pasukan dibahagikan kepada dua kumpulan di mana setiap kumpulan mengandungi tujuh pasukan.

Empat pasukan terbaik setiap kumpulan layak bersaing di peringkat suku akhir sehingga aksi final.

Saingan MPFL musim ini bakal menyaksikan saingan sengit bakal dapat dilihat antara juara liga MPFL dan juara Piala Futsal Malaysia musim lalu, Pahang Rangers dengan naib juara MPFL, JDT.

Pasukan Harimau Selatan yang membariskan pemain terbaik kebangsaan dibantu dua tenaga import pastinya berusaha menjinakkan skuad Pantai Timur yang kini dilihat semakin menemui rentak untuk mempertahankan piala kejuaraan.

Kekuatan skuad Pahang Rangers bimbingan jurulatih, Gerard Casas musim ini mula dapat dilihat apabila menewaskan JDT 5-4 pada perlawanan persahabatan di Stadium Tertutup SUKPA, di sini minggu lalu.

Kelibat dua pemain import baharu kelahiran Brazil, Felipe de Souza dan Murilo Saad bakal menjadi pemusnah pasukan lawan musim ini.

Rata-rata peminat MPFL berpendapat walaupun jumlah pasukan yang bertanding musim ini hanya lapan pasukan sahaja namun kerancakkan setiap perlawanan tetap dapat disaksikan.

Bagaimanapun, perlawanan tumpuan pastinya akan hadir antara Pahang Rangers FC dengan JDT yang seolah menjadi pertembungan menjulang maruah dan membuktikan siapa yang lebih hebat di pentas kebangsaan.

Berita Harian X