Selasa, 6 Februari 2024 | 4:21pm
Rizal Ghazali hadir pada sesi latihan pemain Sabah FC untuk saingan separuh akhir Piala AFC Zon ASEAN di Padang SAFA, Kota Kinabalu. FOTO Sabah FC
Rizal Ghazali hadir pada sesi latihan pemain Sabah FC untuk saingan separuh akhir Piala AFC Zon ASEAN di Padang SAFA, Kota Kinabalu. FOTO Sabah FC

Rizal kembali bersama Sabah FC?

KOTA KINABALU: Bekas pemain Sabah FC, Mohd Rizal Ghazali yang diumum tidak lagi bersama Skuad Sang Badak sejak berakhir saingan Liga Super musim lalu dikhabarkan 'kembali semula' ke Sabah.

Ia berdasarkan kehadirannya pada sesi latihan pemain Sabah FC di Padang Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) dekat Kompleks Sukan Likas, di sini, semalam.

Kelibatnya yang dilihat berdasarkan gambar dikongsikan Facebook Sabah FC, menimbulkan spekulasi mengenai kedudukan terbaharunya bersama Skuad Sang Badak, terutama menjelang saingan separuh akhir Piala AFC Zon ASEAN di Australia, minggu depan.

Netizen rata-ratanya gembira dengan 'kepulangan' rakan baik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun yang juga bekas pemain Sabah FC, Baddrol Bakhtiar itu ke bumi Sabah.

Mereka menyifatkan kehadiran Rizal dan seorang lagi pemain yang sebelum ini dikhabarkan tamat kontrak pinjaman bersama Sabah FC, Daniel Ting, sebagai berita gembira kepada penyokong bola sepak Sabah.

Ada juga yang mengandaikan kehadiran mereka adalah untuk membantu pasukan Sabah FC menghadapi saingan Macarthur FC pada separuh akhir Piala AFC Zon ASEAN di Australia, yang dijadual Selasa depan.

Nama kedua-dua pemain itu dikatakan memang sudah tersenarai untuk perlawanan Piala AFC bersama pasukan Sabah FC.

Tidak kurang juga yang meluahkan harapan agar kedua-dua pemain itu terus bersama Sabah FC, bukan saja untuk perlawanan Piala AFC, malah dalam saingan Liga Super yang dijadual bermula Mei depan.

Bagaimanapun, Rizal dalam satu hantaran di akaun Facebook beliau, memberi gambaran kehadirannya pada sesi latihan pemain Sabah FC semalam hanya sebagai penonton dan bukan untuk menyertai pasukan.

"Alhamdulillah diberi kesempatan menyaksikan latihan Sabah FC," katanya menerusi hantaran terbabit, dipercayai untuk menjawab spekulasi mengenai tujuan kehadirannya pada sesi latihan itu.

Pada 19 Disember lalu, pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengesahkan pengunduran Rizal bersama Irfan Zakaria yang tamat kontrak berkuatkuasa 31 Disember lalu, manakala seorang lagi pemain, Mohd Amri Yahyah mengumumkan persaraan.

Rizal, 31, yang beraksi di bahagian sayap pertahanan menyertai Sabah FC pada 2022 dan bermain bersama pasukan itu sehingga perlawanan terakhir Liga Super 2023 pada 17 Disember lalu.

Berita Harian X