Selasa, 6 Februari 2024 | 3:03pm
Romel Morales (kiri) dan Dion Cools.
Romel Morales (kiri) dan Dion Cools.

Cools, Morales ke JDT?

KUALA LUMPUR: Selepas mengumumkan beberapa pemain import baharu, Johor Darul Ta'zim (JDT) akan diperkuatkan dengan seorang pemain berstatus naturalisasi.

Perkara itu disahkan pemilik JDT yang juga Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim menerusi satu komen di laman Instagram rasmi kelab.

"JDT sudah sign (tandatangan) tiga pemain import baharu. Satu dipinjam, lagi dua sampai Jun. Pemain tempatan satu sign dan dipinjam untuk dapat permainan. Lagi satu naturalisasi dalam skuad JDT," tulis Tunku Mahkota Ismail.

Ada dakwaan bahawa pemain naturalisasi itu dipercayai adalah Romel Morales dengan pemain berusia 26 tahun itu sebelum ini sudah hangat dikaitkan perpindahan ke JDT.

Malah, Morales yang meledak gol penyamaan ketika membantu Harimau Malaya mengikat Korea Selatan 3-3 dalam aksi Piala Asia, bulan lalu juga sudah mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan lamanya, Kuala Lumpur (KL) City, sebelum ini.

Bagaimanapun muncul juga perdebatan hangat dalam kalangan peminat bahawa pemain kacukan yang juga tonggak pertahanan Harimau Malaya, Dion Cools akan menjadi pemain seterusnya menyertai JDT.

Spekulasi itu muncul susulan video kepulangan penyerang sensasi, Fernando Forestieri yang dimuat naik JDT di laman Instagram, semalam.

Menerusi video itu, terdapat satu babak yang memaparkan tulisan 'Cool' beserta nombor 21 di alat pendingin hawa di dinding yang ia mencetuskan pelbagai tanggapan peminat.

Cools yang sebelum ini sudah dikaitkan dengan JDT ketika ini bersama kelab Thailand, Buriram United dan berdasarkan semakan di laman Transfermarkt.com, kontraknya sehingga Jun depan.

Berita Harian X