Isnin, 5 Februari 2024 | 4:01pm
Fortes pemain import terbaharu Selangor.
Fortes pemain import terbaharu Selangor.

Fortes pemain sayap tulen - Cheng Hoe

KUALA LUMPUR: Pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe optimis kehadiran pemain sayap baharunya, Alvin Fortes mampu menjadi jawapan kepada masalah di bahagian sayap yang membelenggu pasukan itu pada musim lalu.

Justeru, bekas jurulatih skuad kebangsaan itu percaya pemain sayap Cape Verde itu dapat membantu menambah sengat pasukan itu apatah lagi mereka akan bersaing dalam Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2) musim depan.

"Saya lihat antara kelemahan yang kita hadapi adalah ketiadaan seorang pemain sayap tulen yang mampu menambah kekuatan pasukan di bahagian serangan pada musim lalu.

"Dengan adanya Fortes, saya nampak kita mampu selesaikan masalah di bahagian kiri atau kanan serangan terutamanya semasa bersaing di pentas Asia nanti.

"Beliau juga pernah beraksi di liga Thailand, jadi saya harap Fortes tidak akan ambil masa yang lama untuk menyesuaikan dirinya bermain di sini," kata Cheng Hoe.

Sebagai rekod, The Red Giants yang muncul naib juara Liga Super musim lalu terus rancak dalam pasaran perpindahan pemain apabila memperkenalkan Fortes sebagai pemain import terbaharu mereka.

Pemain kelahiran Belanda itu adalah pemain import ketiga buat SFC selepas pasukan itu mengumumkan kehadiran pemain dari Uzbekistan, Umarbek Eshmurodov dan penyerang Chile, Ronnie Fernandez.

Pemain sayap itu sudah berkelana ke banyak negara untuk mengembangkan kariernya dengan Malaysia menjadi negara ke-10 dalam perjalanan bola sepaknya dan mengakui SFC sebagai pasukan terbaik untuk meneruskan bola sepaknya.

Berita Harian X