Ahad, 4 Februari 2024 | 5:54pm
Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden SAFA, Datuk Ir Shahelmey Yahya (dua kanan) menemui peniaga sempena Tahun Baharu Cina di Pasar Pekan Sembulan, Kota Kinabalu. Foto: STR / Izwan Abdullah
Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden SAFA, Datuk Ir Shahelmey Yahya (dua kanan) menemui peniaga sempena Tahun Baharu Cina di Pasar Pekan Sembulan, Kota Kinabalu. Foto: STR / Izwan Abdullah

SAFA mahu pemain Sabah FC tunjuk prestasi di Australia

KOTA KINABALU: Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) meletakkan harapan kepada semua pemain Sabah FC agar dapat mempamerkan prestasi terbaik mereka pada perlawanan separuh akhir Piala AFC Zon ASEAN di Australia pada 13 Februari ini.

Presidennya, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, walaupun lawan skuad Sang Badak, iaitu Macarthur FC dilihat sebagai antara pasukan yang kuat di negara itu, pemain Sabah FC mampu menghadapinya jika bermain dengan baik.

Katanya, beliau percaya anak buah Datuk Ong Kim Swee mampu menghadapi pasukan lawan dengan baik pada perlawanan itu nanti berdasarkan program latihan yang dilaksanakan skuad Sang Badak ketika ini.

"Mereka (pemain Sabah FC) sedang giat melakukan latihan dan perlawanan dijangka akan dibuat pertengahan Februari ini di Sydney.

"Pasukan Macarthur adalah satu pasukan yang agak kuat juga dalam Liga Australia dan kita harap Sabah FC dapat mempamerkan prestasi yang baik dalam perlawanan itu nanti," katanya kepada pemberita selepas menemui peniaga sempena Tahun Baharu Cina di Pekan Tanjung Aru dan Pekan Sembulan, di sini, hari ini.

Beliau ditanya mengenai harapannya terhadap Sabah FC bagi menghadapi perlawanan kalah mati itu selepas memenangi saingan Kumpulan H, Piala AFC 2023 yang berakhir 14 Disember lalu.

Mengulas sama ada kerajaan negeri menyediakan insentif tertentu sekiranya Sabah FC memenangi perlawanan itu, Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah meminta supaya pemain memberikan persembahan yang baik terlebih dahulu.

Berita Harian X