Ahad, 4 Februari 2024 | 12:06pm
Pemain tempatan perlu bekerja keras untuk bersaing dengan import bagi mendapatkan tempat dalam pasukan. - BERNAMA
Pemain tempatan perlu bekerja keras untuk bersaing dengan import bagi mendapatkan tempat dalam pasukan. - BERNAMA

Pemain tempatan perlu berani lawan import

KUALA LUMPUR: Tiada jalan lain buat pemain tempatan dalam Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/25 selain wajib menyahut cabaran dan bekerja keras untuk menyaingi pemain import bagi mendapatkan lebih minit permainan.

Ia susulan keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang memperkenalkan kuota enam pemain import (iaitu 4+1 (Asia) +1 (ASEAN) berada di atas padang dalam satu masa berbanding lima pada musim lalu.

Meskipun wujud persoalan mengenai peluang untuk pemain tempatan mendapat tempat dalam skuad utama, namun menurut MFL pelaksanaan peraturan baharu itu sudah dipersetujui oleh semua pasukan bertanding.

Justeru, selain cabaran besar buat pemain tempatan, jurulatih dalam Liga M juga diharap tidak memberikan 'hak istimewa' kepada pemain import untuk diletakkan dalam skuad utama pasukan.

Sebaliknya, jurulatih harus meletakkan hak sama rata buat semua pemain untuk merebut tempat tidak kira sama ada mereka berstatus pemain tempatan atau import dengan prestasi semasa perlu menjadi penilaian utama.

Pemerhati bola sepak tempatan, Zakaria Rahim menyifatkan jurulatih harus berani membuat penggiliran pemain bagi membolehkan setiap pemain termasuk pemain tempatan menunjukkan kemampuan sebenar mereka.

"Selagi tak buat penggiliran, ada pemain tak ada peluang tunjukkan kemampuan. Kita faham setiap jurulatih ada strategi atau pendekatan berbeza, jadi terpulang kepada mereka dan itu hak jurulatih memilih pemain yang akan bermain.

"Kita cuma berharap jurulatih berani buat penggiliran pemain kerana liga ini panjang. Kita lihat di liga Jepun, walaupun ada ramai pemain import, tetapi tak semestinya pemain import itu bermain untuk skuad utama. Pemain Jepun banyak main dalam liga, ada import yang duduk di bangku simpanan.

"Sistem kita dulu fikir rugi apabila bayar import mahal tapi duduk di bangku simpanan, namun bola sepak moden sekarang, pemain import adalah lauk tambah dalam pasukan itu.

"Sekarang, pastikan pemain import pun kena bersaing dengan pemain tempatan. Maknanya status import bukan jaminan untuk mereka berada dalam skuad utama," katanya kepada BH Sukan.

Sebelum ini, BH Sukan melaporkan bekas pemain kebangsaan, Razman Roslan menyifatkan penambahan kuota import kepada enam yang boleh beraksi di atas padang dalam satu-satu masa akan merugikan bakat tempatan.

Selain itu, Zakaria menganggap penambahan kuota import di atas padang juga akan mewujudkan jurang lebih besar antara pasukan 'kaya' dengan pasukan yang kurang berkemampuan.

Beliau berkata, beberapa pasukan yang kurang berkemampuan mungkin tidak akan memenuhi kuota itu, sekali gus menyukarkan mereka untuk bersaing merebut kelompok atas liga.

"Untuk kemajuan pasukan yang akan bermain di peringkat Asia, ia akan beri impak. Cuma kesan daripada kewangan itu akan jadi lebih tak seimbang antara pasukan yang mampu dengan pasukan yang kurang mampu.

"Kalau belanja ikut kemampuan, mereka mungkin hanya menggunakan apa (pemain) yang mereka mampu. Nak menyaingi kelompok tiga teratas memang tak dapat, nak jadi juara jauh sekali.

"Ia akan wujud jurang lebih besar dan hanya dua tiga pasukan yang mampu memenuhi kuota (pemain import) yang ada," katanya.

Berita Harian X