Ahad, 4 Februari 2024 | 7:56am
Penyerang Ivory Coast, Oumar Diakite meraikan jaringan kemenangan dengan membuka baju sebelum dilayangkan kad kuning kedua dan kad merah ketika aksi suku akhir AFCON menentang Mali di Stade de la Paix, Bouake. - Foto AFP

Ivory Coast, Afrika Selatan mara ke separuh akhir AFCON

BOUAKE, Ivory Coast: Oumar Diakite muncul wira tuan rumah apabila Ivory Coast sekali mempamerkan kebangkitan ketika menewaskan Mali 2-1 dalam aksi suku akhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON).

Jaringan masa tambahan pemain gantian itu menggunakan tumitnya membawa The Elephants ke separuh akhir, disusuli Afrika Selatan yang menewaskan Cape Verde dalam satu lagi aksi suku akhir.

Pemain kelahiran Ivory Coast, Nene Dorgeles meletakkan Mali di depan pada minit ke-71, memanfaatkan kelebihan pemain apabila Odilon Kossounou dibuang padang sebelum rehat.

Seorang lagi pemain gantian Ivory Coast, Simon Adingra, menyamakan kedudukan pada minit ke-90 untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Diakite memastikan permainan tidak berlarutan ke sepakan penalti apabila menewaskan penjaga gol Mali, Djigui Diarra menggunakan tumitnya.

Diakite, yang sudah mengutip satu kad kuning sebelum itu, membuka bajunya untuk meraikan jaringan, sekali gus mengundang kad kuning kedua diikuti oleh kad merah.

Selain Diakite, Kossounou, kapten Serge Aurier dan Christian Kouame juga tidak akan beraksi di separuh akhir menentang Republik Demokratik.

Pemain Mali, Nene Dorgeles (tengah) berebut bola dengan pemain Ivory Coast, Oumar Diakite (kiri) ketika aksi suku akhir AFCON di Stade de la Paix, Bouake. - Foto AFP
Pemain Mali, Nene Dorgeles (tengah) berebut bola dengan pemain Ivory Coast, Oumar Diakite (kiri) ketika aksi suku akhir AFCON di Stade de la Paix, Bouake. - Foto AFP

"Selepas perlawanan sebegini, tidak ada apa yang mampu digambarkan, hanya emosi. Saya sangat teruja sehingga terlupa sudah mengutip kad kuning. Ia kesilapan saya.

"Walaupun saya tidak berada di sana, kami mampu melakukannya. Dengan gol ini, saya mencetus kegembiraan semua penyokong Ivory Coast di stadium ini," kata Diakite.

Kemenangan itu mengekalkan penguasaan Ivory Coast ke atas The Eagles di AFCON - kemenangan kelima sejak tahun 1994 dan seri sekali.

Kali terakhir Ivory Coast mara ke separuh akhir ialah pada tahun 2015 di Equatorial Guinea, dan mereka menewaskan DR Congo 3-1 sebelum memenangi kejohanan buat kali kedua.

Penjaga gol Afrika Selatan, Ronwen Williams menyelamatkan empat sepakan dalam penentuan penalti pada aksi suku akhir AFCON menentang Cape Verde di Stade Charles Konan Banny, Yamoussoukro. - Foto AFP
Penjaga gol Afrika Selatan, Ronwen Williams menyelamatkan empat sepakan dalam penentuan penalti pada aksi suku akhir AFCON menentang Cape Verde di Stade Charles Konan Banny, Yamoussoukro. - Foto AFP

Sementara itu penjaga gol Afrika Selatan, Ronwen Williams menyelamatkan empat sepakan penalti untuk menewaskan Cape Verde 2-1 dalam penentuan penalti selepas terikat 0-0 sehingga tamat masa tambahan di Yamoussoukro.

Bryan Teixeira satu-satunya pemain Cape Verde yang berjaya menyempurnakan sepakan manakala Teboho Mokoena dan Mothobi Mvala menjaringkan gol Afrika Selatan.

Afrika Selatan kembali ke pentas separuh akhir buat pertama kali sejak tahun 2000, yang menyaksikan mereka tewas kepada tuan rumah, Nigeria - bakal lawan mereka di Bouake selepas ini.

Nigeria, yang menampilkan Pemain Terbaik Afrika, Victor Osimhen pada edisi kali ini, memenangi AFCON sebanyak tiga kali, Ivory Coast dan DR Congo masing-masing dua kali dan Afrika Selatan sekali. - AFP

Berita Harian X