Sabtu, 3 Februari 2024 | 4:13pm
Pemain pertahanan Uzbekistan, Umarbek Eshmurodov menjadi pemain import baharu Selangor. - Foto Selangor FC
Pemain pertahanan Uzbekistan, Umarbek Eshmurodov menjadi pemain import baharu Selangor. - Foto Selangor FC

Selangor buat impian Umar jadi kenyataan

KUALA LUMPUR: Impian pemain pertahanan Uzbekistan, Umarbek Eshmurodov untuk beraksi di luar negara akhirnya menjadi kenyataan selepas dia menyertai naib juara Liga Super musim lalu, Selangor.

Umarbek atau lebih dikenali sebagai Umar diumumkan secara rasmi sebagai pemain import baharu Gergasi Merah untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) bagi musim 2024/2025.

Malah, Selangor menjadi kelab luar negara pertama yang disertai pemain berusia 31 tahun itu selepas 12 tahun beraksi di Uzbekistan.

"Sejujurnya, saya menyimpan hasrat untuk beraksi bersama kelab di luar negara sejak dari dulu lagi," kata bekas kapten FC Nasaf Qarshi itu.

"Selangor FC kelab pertama saya memilih untuk melebarkan sayap dalam karier bola sepak setelah 12 tahun beraksi di Uzbekistan dan saya yakin dengan keputusan ini.

"Saya berharap pengalaman luas beraksi di peringkat antarabangsa, baik untuk kelab mahu pun untuk pasukan kebangsaan Uzbekistan akan membantu saya membawa Selangor FC mencapai kejayaan untuk musim ini."

Umar kini bersama Uzbekistan dalam Piala Asia 2023 dengan skuad itu dijadual berdepan tuan rumah, Qatar, malam ini bagi aksi suku akhir selepas menewaskan Thailand 2-1 di pusingan 16 terakhir, Selasa lalu.

Sementara itu, pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe percaya pengalaman Umar bermain di Piala Asia dan Liga Juara-Juara akan menguatkan lagi barisan pertahanan selepas Gergasi Merah menghadapi kesukaran di bahagian itu musim lalu.

"Adanya dia bersama Selangor FC akan membantu menaikkan keyakinan pasukan untuk beraksi dalam ACL 2," kata Cheng Hoe.

"Umar juga salah seorang kapten untuk kelab terdahulunya dan pasukan kebangsaan Uzbekistan. Saya berharap sikap kepemimpinannya akan membantu pasukan terutama pemain muda untuk beraksi dengan lebih matang."

Selain Umar, Selangor turut mengumumkan penyerang dari Chile, Ronnie Fernandez sebagai pemain import baharu kedua mereka bagi menghadapi saingan musim 2024/2025.

Pemain berusia 32 tahun itu pernah menyarung jersi skuad kebangsaan Chile dalam kelayakan Piala Dunia menentang Uruguay dan Brazil pada Mac 2022.

Berita Harian X