Jumaat, 2 Februari 2024 | 10:43am
Tuan rumah, Ivory Coast berpeluang menebus kesilapan di peringkat kumpulan apabila mara ke suku akhir Piala Negara-Negara Afrika. - Foto AGENSI
Tuan rumah, Ivory Coast berpeluang menebus kesilapan di peringkat kumpulan apabila mara ke suku akhir Piala Negara-Negara Afrika. - Foto AGENSI

Suku akhir AFCON makin menarik

ABIDJAN: Beberapa pasukan pilihan sudah tersingkir awal di Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) dan kejutan dijangka akan terus berlaku pada aksi suku akhir yang bermula awal pagi esok.

Tuan rumah, Ivory Coast akan bertemu Mali di peringkat lapan terakhir bagi memburu kejayaan yang pada awalnya seperti tertutup buat mereka.

Ivory Coast tewas 4-0 kepada Equatorial Guinea pada aksi terakhir peringkat kumpulan - kekalahan terbesar pasukan tuan rumah dalam sejarah pusingan akhir kejohanan - dan terpaksa menunggu tiga hari sebelum disahkan layak ke pusingan kalah mati.

Mereka bangkit mengatasi juara bertahan, Senegal menerusi penentuan penalti dan kini berdepan tetangga Mali di Bouake esok (awal pagi Ahad).

Ivory Coast salah satu daripada empat bekas juara yang masih bersaing di edisi kali ini, bersama DR Congo, yang dulunya dikenali sebagai Zaire ketika kali terakhir muncul juara 50 tahun lalu, manakala Afrika Selatan meraih kejuaraan tunggal pada tahun 1996.

Nigeria, dengan tiga kejuaraan sebelum ini, kini menjadi pasukan pilihan selepas menewaskan Ivory Coast di peringkat kumpulan dan menyingkirkan Cameroon di pusingan kedua.

Afrika Selatan pula akan menentang Cape Verde yang berjaya mengejutkan Ghana di peringkat kumpulan.

Kelapan-lapan pasukan yang mara ke suku akhir di Cameroon pada edisi dua tahun lalu gagal layak ke peringkat sama kali ini, begitu juga lima negara yang mewakili Afrika di Piala Dunia Qatar.

Peringkat separuh akhir akan berlangsung pada Rabu (awal pagi Khamis) manakala final diadakan di Abidjan pada 11 Februari. - AGENSI

Berita Harian X