Rabu, 31 Januari 2024 | 9:58pm
Faisal (kanan) sah kekal beraksi bersama Selangor musim 2024/2025.
Faisal (kanan) sah kekal beraksi bersama Selangor musim 2024/2025.

Faisal kekal bersama Selangor FC

KUALA LUMPUR: Pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim akan terus menjadi nadi buat Selangor FC (SFC) selepas pemain lincah itu kekal bersama The Red Giants bagi musim 2024/25.

Perkembangan terbabit disahkan naib juara Liga Super musim 2023 itu menerusi akaun media sosialnya, hari ini.

Pemain berusia 26 tahun itu muncul antara pemain tempatan paling menyerlah apabila meledak 13 gol dan melakar 11 bantuan gol dalam 28 penampilan pada musim pertamanya bersama pasukan Lembah Klang itu.

Dengan 12 gol yang diledak dalam saingan Liga Super, pemain yang lebih mesra disapa 'Mickey' itu dinobatkan sebagai penjaring terbanyak tempatan bagi Liga Super.

Berdasarkan prestasi cemerlangnya pada musim lalu, SFC sudah tentu mengharapkan prestasi sama dapat diteruskan apatah lagi mereka akan berentap dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) pada musim baharu nanti.

Selain Faisal, pada hari ini SFC turut mengumumkan beberapa pemain akan turut kekal bersama mereka pada musim depan seperti Safuwan Baharudin dan Mukhairi Ajmal Mahadi.

Berita Harian X