Rabu, 31 Januari 2024 | 10:00am
Pemain tengah Afrika Selatan, Teboho Mokoena (tengah) meraikan bersama rakan sepasukan selepas menyumbat gol kedua ketika mengatasi Maghribi 2-0 pada pusingan 16 terakhir Piala Negara-Negara Afrika di Stade Laurent Pokou di San Pedro awal pagi tadi. – Foto AFP

Maghribi tersungkur di tangan Afrika Selatan

KORHOGO, Ivory Coast: Maghribi muncul pasukan gergasi terbaharu dikejutkan pada Piala Negara-Negara Afrika apabila mereka tumbang 2-0 di tangan Afrika Selatan awal pagi tadi, manakala Mali turut menempah tiket ke suku akhir.

Evidence Makgopa dan Teboho Mokoena meledak gol pada babak kedua buat Bafana Bafana, yang terbukti sekali lagi menjadi pasukan badi buat Atlas Lions, dengan Achraf Hakimi gagal menyudahkan sepakan penalti.

Sejak muncul pasukan pertama Afrika layak ke separuh akhir Piala Dunia di Qatar dua tahun lalu, Maghribi tewas dua daripada 13 perlawanan dan kedua-dua kekalahan itu dicetus oleh Afrika Selatan.

Kejutan aksi pusingan 16 terakhir di bandar pantai Ivory Coast, San-Pedro itu hadir selepas Mali mengatasi Burkina Faso 2-1 di Korhogo dengan Lassine Sinayoko menjaringkan gol penting.

Maghribi menyertai juara bertahan Senegal, Mesir, Tunisia, Algeria, Cameroon dan Burkina Faso sebagai pasukan di ranking 10 teratas di Afrika pulang lebih awal.

Pemain Maghribi, Achraf Hakimi, Romain Saiss dan Yassine Bounou kelihatan sugul selepas tunduk di tangan Afrika Selatan pada pusingan 16 terakhir Piala Negara-Negara Afrika di Stade Laurent Pokou, San Pedro awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Sabtu ini, Afrika Selatan akan berdepan Cape Verde di Yamoussoukro selepas tuan rumah Ivory Coast dan Mali bertarung di Bouake.

Bagi dua lagi aksi suku akhir Jumaat ini, Nigeria yang dikemudi Victor Osimhen berdepan Angola manakala DR Congo bertemu Guinea.

Jurulatih Maghribi, Walid Regragui menganggap kegagalan itu sebagai "sumpahan Afrika" dan bekas pemain pertahanan pasukan kebangsaan itu menyaksikan Afrika Selatan berhak mencipta kemenangan.

Makgopa meletakkan Bafana di depan pada minit ke-57 dan Maghribi mensia-siakan peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan apabila rembatan Hakimi menerusi sepakan penalti terkena palang dan keluar.

Kekasaran ke atas Mokoena oleh pemain tengah Manchester United, Sofyan Amrabat menjurus kepada semakan VAR yang berakhir dengan kad merah kerana dia adalah pemain pertahanan terakhir.

Penyerang Mali, Lassine Sinayoko melakukan sujud syukur selepas menjaringkan gol kedua pasukannya ketika mengalahkan Burkina Faso pada pusingan 16 terakhir Piala Negara-Negara Afrika di Stadium Amadou Gon Coulibaly, Korhogo awal pagi tadi. – Foto AFP

Pakar sepakan percuma Mokoena meledak masuk menerusi sepakan percuma melepasi jangkauan Yassine Bounou bagi memastikan kemenangan.

Sinayoko menyumbat gol ketiganya pada Piala Negara-Negara Afrika ketika Mali layak ke suku akhir buat kali pertama sejak 2013 dengan mengalahkan Burkina Faso 2-1 di Korhogo.

Gol sendiri Edmond Tapsoba meletakkan Mali di depan pada aksi pusingan 16 terakhir itu sebelum Sinayoko menggandakan kelebihan sejurus selepas rehat.

Kapten Bertrand Traore mengurangkan defisit menerusi sepakan penalti buat Burkina Faso, yang menjaringkan gol sekali lagi namun Issoufou Dayo dipersalahkan kerana ofsaid.

"Ia satu perlawanan yang benar-benar sukar menentang pasukan yang bagus. Kami terpaksa bekerja lebih keras tetapi saya bangga kami akhirnya meraih keputusan ini," kata Sinayoko. – AFP

Berita Harian X