Selasa, 30 Januari 2024 | 5:38pm
MFL mengesahkan pendaftaran sembilan pemain import masih dikekalkan musim 2024/2025
MFL mengesahkan pendaftaran sembilan pemain import masih dikekalkan musim 2024/2025

JDT, Selangor boleh daftar 10 pemain import

KUALA LUMPUR: Pasukan yang beraksi di Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), ACL2 dan juga pertandingan kelab ASEAN (AFF) dibenarkan menambah satu lagi pemain import, menjadikan mereka boleh mendaftar sehingga 10 pemain import bagi musim 2024/25.

Ketetapan itu diumumkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang mengesahkan kuota sembilan import dalam pendaftaran masih dikekalkan bagi musim 2024/25 dan 'keistimewaan' membabitkan tambahan satu pemain import hanya bagi pasukan yang beraksi di pertandingan luar negara.

Selain itu, MFL turut bersetuju dengan permintaan beberapa kelab bagi penambahan kuota seorang pemain import di atas padang untuk musim 2024-2025.

"Ini bermakna kuota musim 2024-2025 yang dipersetujui semua pasukan adalah 6 pemain import (iaitu 4+1 (Asia)+1 (ASEAN) dibenarkan berada di atas padang pada satu-satu masa dengan seorang pemain di bangku simpanan.

"Walaupun MFL menerima permintaan kelab Liga Malaysia (Liga M), MFL bagaimanapun mengingatkan kepada semua kelab agar mengambil pemain import mengikut kesesuaian percaturan serta kemampuan kewangan masing-masing," kata MFL dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebagai rekod, Johor Darul Ta'zim (JDT) akan beraksi di ACLE selaku juara Liga Super sementara Selangor FC (SFC) akan berentap di ACL2 selaku naib juara Liga Super.

Bagi pertandingan kelab ASEAN (AFF), MFL menerusi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mencadangkan pasukan di tangga ketiga dan keempat iaitu Sabah FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk bersaing dalam pertandingan terbabit.

Dalam kenyataan sama, MFL turut mengumumkan hanya pusingan 16 Piala FA kekal dimainkan secara pusingan satu perlawanan manakala pusingan suku akhir dan separuh akhir Piala FA akan ditukar format dengan dimainkan secara timbal balik.

Pertandingan Piala FA 2024-2025 bakal membabitkan penyertaan kelab Liga Super 2023 dan dua kelab M3 yang akan dipilih oleh Liga Bolasepak Amatur (AFL).

Berita Harian X