Isnin, 29 Januari 2024 | 4:41pm
Johan dedahkan perbelanjaan Selangor FC meningkat 30 peratus musim ini kerana musim Liga M panjang.
Johan dedahkan perbelanjaan Selangor FC meningkat 30 peratus musim ini kerana musim Liga M panjang.

Perbelanjaan Selangor FC meningkat 30 peratus

KUALA LUMPUR: Saingan Liga Malaysia (Liga M) 2024/25 yang hanya akan membuka tirainya pada awal Mei depan bakal menjadi musim yang mencabar buat naib juara Liga Super musim lalu, Selangor FC (SFC).

Ini susulan saingan musim yang lebih panjang menyaksikan pasukan itu berdepan peningkatan dari segi perbelanjaan dan perkara itu diakui Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Johan Kamal Hamidon.

"Bajet memang bertambah kerana musim ini sangat mencabar disebabkan oleh peningkatan bulan dalam sebuah musim di mana kebiasaannya (Liga M) 12 bulan tetapi musim ini membabitkan 17 bulan (termasuk pramusim).

"Peningkatan lima bulan itu sahaja sudah meningkatkan bajet kita sebanyak 30 peratus secara keseluruhan.

"Kami sudah melakukan penjimatan dalam beberapa bulan kebelakangan ini bagi memastikan kita dapat mencari dana yang mencukupi untuk kita menampung peningkatan bajet ini," kata Johan.

Justeru, Johan melihat ini bukanlah satu tugas yang mudah apatah lagi 'The Red Giants' memerlukan perancangan yang rapi untuk beraksi di saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) pada musim depan.

"Kita perlu melakukan persiapan terbaik buat pasukan supaya boleh bertanding. Ini bukanlah satu tugas yang mudah tetapi kita sedang bekerja keras untuk perkara ini," katanya.

Sebagai rekod, SFC akan kembali ke pentas Asia selepas menamatkan saingan Liga Super musim lalu selaku naib juara.

Berita Harian X