Isnin, 29 Januari 2024 | 11:48am
Penyerang Inter Milan, Lautaro Martinez melonjak untuk meraikan gol tunggal kemenangan 1-0 ke atas Fiorentina pada aksi Serie A Itali di Stadio Artemio Franchi, Florence awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Penyerang Inter Milan, Lautaro Martinez melonjak untuk meraikan gol tunggal kemenangan 1-0 ke atas Fiorentina pada aksi Serie A Itali di Stadio Artemio Franchi, Florence awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Inter rampas semula tangga teratas Serie A

FLORENCE, Itali: Inter Milan merampas semula tangga teratas Serie A apabila mereka menundukkan pasukan tangga kelima Fiorentina 1-0 awal pagi tadi susulan gol awal tandukan Lautaro Martinez.

Inter, yang dinobat juara Piala Super Itali buat tahun ketiga berturut-turut Isnin lalu, kembali ke puncak carta liga dengan 54 mata, satu mata di depan pasukan tangga kedua Juventus yang beraksi lebih satu perlawanan.

Juve mensia-siakan peluang untuk mengukuhkan pendahuluan ke atas Inter apabila mereka dipaksa seri 1-1 oleh pasukan bawahan Empoli kelmarin selepas beraksi hampir keseluruhan perlawanan dengan 10 pemain.

"Pasukan ini bertindak cemerlang pada babak pertama dan di situlah kami patut menamatkannya, mungkin menjaringkan satu gol lagi," kata jurulatih Simone Inzaghi kepada wartawan.

"Malah pada babak pertama saya tidak berpuas hati dengan 1-0. Fiorentina... sering membuat anda merana, ia satu kemenangan penting tetapi tidak menjadi penentu lagi."

Pemain Inter Milan meraikan kemenangan 1-0 ke atas Fiorentina pada aksi Serie A Itali di Stadium Artemio Franchi, Florence awal pagi tadi. – Foto AFP
Pemain Inter Milan meraikan kemenangan 1-0 ke atas Fiorentina pada aksi Serie A Itali di Stadium Artemio Franchi, Florence awal pagi tadi. – Foto AFP

Fiorentina berasakan mereka berjaya mendahului apabila penyerang M'Bala Nzola memperdaya penjaga gol pelawat Yann Sommer pada minit ke-11 tetapi penyerang Angola itu dipersalahkan kerana ofsaid.

Martinez meletakkan Inter di depan tiga minit kemudian, menanduk masuk susulan satu sepakan percuma dari sudut sukar.

Inter, yang tampil tanpa pemain tengah yang digantung perlawanan Hakan Calhanoglu dan Nicolo Barella, membenarkan Fiorentina menguasai pegangan bola tetapi tuan rumah mensia-siakan banyak peluang.

The Viola, yang menghuni tangga kelima dengan 34 mata dan juga beraksi kurang satu perlawanan, seterusnya akan bertandang ke pasukan tangga ke-14, Lecce Jumaat ini.

Inter melayan kunjungan Juventus pada 4 Februari depan.

"Satu perlawanan antara dua pasukan yang bertindak cemerlang ketika ini. Kami akan cuba bersedia sebaik mungkin," kata Inzaghi mengenai pertemuan dengan Juve. – REUTERS

Berita Harian X