Ahad, 28 Januari 2024 | 2:59pm
Wan Kuzain Wan Kamal dilaporkan sudah mendapat taraf warga negara. - Foto Ooi Kin Fai
Wan Kuzain Wan Kamal dilaporkan sudah mendapat taraf warga negara. - Foto Ooi Kin Fai

Wan Kuzain senjata baharu Pan Gon?

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya berpeluang menguji seorang lagi pemain baharu, Wan Kuzain Wan Kamal selepas pemain kelahiran Amerika Syarikat (AS) itu dipercayai sudah boleh mewakili skuad kebangsaan selepas ini.

Ia susulan laman sesawang bola sepak terkemuka, Transfermarkt mendakwa pemain berusia 25 tahun itu sudah kini memiliki kewarganegaraan Malaysia sekali gus berpeluang dipanggil barisan kejurulatihan skuad kebangsaan jika khidmatnya diperlukan.

Malah, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga sudah menyatakan hasrat untuk memanggil pemain itu seperti yang dinyatakan abang kepada pemain itu yang juga Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal.

"Banyak komen biadap daripada 'haters' yang terpaling bola. FAM sudah pun berhubung dengan Wan Kuzain untuk sarung jersi Harimau Malaya," katanya menerusi platform X.

Selain itu, bapa pemain itu, Wan Kamal Wan Napi turut memberi bayangan anaknya itu akan kembali ke tanah air untuk memperkuat skuad kebangsaan.

"Kuzain akan datang tidak lama lagi," kata Wan Kamal menerusi satu komen di laman Facebooknya.

Ketika ini, pemain yang pernah mewakili skuad Bawah 17 tahun (B-17) AS itu beraksi bersama pasukan St Louis City SC 2 selepas meninggalkan RGV FC Toros pada 2022.

Terdahulu, pemain itu pernah dipanggil menyertai kem pusat latihan Sukan SEA 2019 di Filipina namun terpaksa digugurkan susulan masalah dokumentasi yang dihadapinya.

Berita Harian X