Sabtu, 27 Januari 2024 | 5:26pm
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh bergambar bersama peserta pada perasmian "Datasonic H2O Run 2024" di Padang Merbok. NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh bergambar bersama peserta pada perasmian "Datasonic H2O Run 2024" di Padang Merbok. NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI

'Konsert tetap dibenarkan di Stadium Nasional'

KUALA LUMPUR: Bola sepak boleh, konsert pun boleh!

Itu tegas Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika diminta mengulas mengenai Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang asas fungsinya adalah untuk 'pelbagai guna' dan tidak terhad kepada bola sepak sahaja.

Hannah berkata, fungsi itu sudah pun diterapkan sejak sekian lama namun beliau akan memastikan prosedur operasi standard (SOP) penggunaan stadium diketatkan lagi termasuk tidak berlakunya pertindihan jadual penggunaan seperti sebelum ini.

"Stadium Nasional Bukit Jalil adalah 'multipurpose' dan sebelum ini memang selalu yang stadium ini berkongsi (penggunaan). Berkongsi bukan sahaja untuk bola sepak kerana konsert juga memberikan hasil dan mereka ada peminat sendiri yang mahu melihat konsert.

"Sekarang ini, kita kena pastikan SOP itu diketatkan dan kita kena pastikan tak ada gangguan dalam jadual. Jadi konsert pun boleh, bola sepak pun boleh," kata Hannah ketika ditemui media selepas menghadiri acara 'Datasonic H20 Run 2024' di Padang Merbok di sini, hari ini.

Sebelum ini, kualiti padang SNBJ menjadi perdebatan hangat apabila ia sekali mengalami kerosakan rumput selepas konsert Coldplay pada November lalu, dan perkara itu membimbangkan ramai pihak terutama menjelang final Piala Malaysia selepas itu.

"Apa yang berlaku pada (konsert) Coldplay itu mesti dielakkan dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) sedang berusaha untuk pastikan perkara sama tidak berulang lagi. Kita sedang berusaha secara bersama dan kita ada banyak pakar yang mahu memberikan cadangan kepada PSM," katanya.

SNBJ selepas ini bakal menjadi venue untuk konsert penyanyi terkemuka dari United Kingdom, Ed Sheeran pada 24 Februari ini.

Hannah dalam pada itu turut menyatakan, KBS akan mengumumkan syarat serta insentif yuran mengikuti latihan sukan yang diberikan pelepasan cukai seperti terkandung dalam Belanjawan 2024 akan diumumkan sebelum Mac ini.

Hannah berkata, KBS sudah bermesyuarat bersama Kementerian Kewangan dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi memperinci terma yang boleh melayakkan orang ramai menikmati pelepasan cukai selepas membayar yuran latihan sukan disertai.

"Mesyuarat pertama sudah diadakan (bersama Kementerian Kewangan dan LHDN) untuk mereka melihat syarat dan terma untuk pelepasan cukai itu. Dalam masa terdekat, kita akan umumkan dan pastikan rakyat bersedia menggunakan insentif cukai ini supaya mereka mula melabur untuk latihan sukan dan itu yang paling penting.

"Apabila orang tahu bahawa ini adalah pelepasan cukai kategori baharu untuk sukan, mereka akan mula membelanjakan duit dalam latihan sukan ini tetapi saya nak pastikan jurulatih dan semua pihak bersiap sedia untuk orang ramai memulakan trend ini," kata Hannah.

Berita Harian X