Sabtu, 27 Januari 2024 | 11:58am
Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin ketika menjawab pertanyaan pada sidang media rangkuman prestasi skuad Harimau Malaya di sini. - Bernama
Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin ketika menjawab pertanyaan pada sidang media rangkuman prestasi skuad Harimau Malaya di sini. - Bernama

Bukan angkara 'tangan ghaib' - Hamidin

DOHA: Keputusan buruk yang diraih Harimau Malaya dalam dua aksi awal Kumpulan E saingan Piala Asia 2023 bukan disebabkan campur tangan luar atau 'tangan ghaib' dalam skuad itu.

Isu tangan ghaib sekali lagi dimainkan segelintir peminat susulan prestasi hambar Harimau Malaya ketika tewas kepada Jordan (0-4) dan Bahrain (0-1) dengan ada yang menyifatkan beberapa pemain terutama Natxo Insa tidak harus berada dalam skuad Kim Pan Gon untuk kejohanan tertinggi Asia itu.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin bagaimanapun menegaskan bahawa tiada campur tangan pihak lain dalam pemilihan pemain untuk ke Piala Asia.

Sebaliknya, beliau menjelaskan pemilihan 26 pemain yang dibawa ke Qatar adalah keputusan daripada Pan Gon selepas penilaian dilakukan bersama barisan kejurulatihan.

"Tangan ghaib ini sudah banyak kali orang kata. Saya nak jelaskan dia (Pan Gon) membuat senarai pemain selepas berbincang dengan barisan jurulatih dan dia muktamadkan senarai itu dengan saya sebagai presiden, yang lain tak ada.

"Jadi saya berasa ini bukan isu, beberapa kemenangan dalam dua tahun ini tak ada pula yang kata ada campur tangan dan kita naik sampai ranking 130. Saya bincang dengan sebahagian penyokong pun mereka faham.

"Jadi saya tak setuju (dakwaan ada tangan ghaib), kerana kami yang memastikan apa yang Pan Gon nak. Sama ada siapa pun kita, memang kita nak bola sepak kita naik dan pergi lebih jauh.

"Natxo itu daripada dua tahun lalu lagi Pan Gon mahukan, tetapi sebelum ini Natxo mengalami kecederaan dan hanya ini (Piala Asia) masa yang dapat (guna Natxo).

"Habis perlawanan sampai sekarang dia cakap, Natxo kalau tak cedera dia akan bawa. Itu saya nak katakan dua tahun menang tak ada cerita tangan ghaib," katanya.

Meskipun berdepan detika mengecewakan terkandas di peringkat kumpulan selepas tewas kepada Jordan dan Bahrain, Harimau Malaya bagaimanapun menutup saingan Kumpulan E dengan keputusan membanggakan apabila mengikat pasukan ranking ke-23 dunia, Korea Selatan di Stadium Al Janoub, kelmarin.

Selain itu, Hamidin menjelaskan faktor kurang bernasih baik dilihat menjadi antara punca Harimau Malaya tewas kepada Bahrain, sekali gus tersingkir dari perebutan tiket ke pusingan kalah mati.

"Bagi saya pemain menunjukkan permainan yang bagus lawan Bahrain, tapi kita tak ada rezeki. Macam saya katakan lawan Kyrgyzstan kita patut kalah, namun dengan rezeki kita menang pada saat akhir.

"Ini pun terjadi kepada kita semasa menentang Bahrain. Jadi kita kena redha dengan takdir, ini bukan sebab Natxo atau pemain lain, saya tak percaya dengan semua itu," katanya.

Berita Harian X