Jumaat, 26 Januari 2024 | 9:00pm
Pasukan Harimau Malaya bergambar selepas seri 3-3 ketika bertemu Korea Selatan pada aksi terakhir Kumpulan E Piala Asia 2023 Qatar di Stadium Al Janoub, Doha. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Pasukan Harimau Malaya bergambar selepas seri 3-3 ketika bertemu Korea Selatan pada aksi terakhir Kumpulan E Piala Asia 2023 Qatar di Stadium Al Janoub, Doha. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

'Harimau Malaya pulang bermaruah'

DOHA: Keputusan seri 3-3 yang dilakar ketika menentang Korea Selatan di Stadium Al Janoub, malam tadi harus menutup cerita sedih dan panas Harimau Malaya di pentas Piala Asia 2023.

Satu mata yang diraih berdepan gergasi Asia itu turut menjadi penyelamat maruah negara daripada pulang tangan kosong selepas Harimau Malaya mengalami dua kekalahan berturut-turut menentang Jordan (0-4) dan Bahrain (0-1) dalam dua aksi awal Kumpulan E.

Kini, walaupun terpaksa pulang awal dari kejohanan itu, pasukan kendalian Kim Pan Gon tetap mendapat pujian tinggi kerana hampir 39 tahun skuad senior Harimau Malaya tidak meraih mata berdepan skuad Taegeuk Warriors.

Kali terakhir Malaysia meraih mata berdepan Korea Selatan adalah ketika menang 1-0 pada 1985 dan selepas itu skuad negara tewas dalam semua empat pertembungan.

Malah, keputusan berdepan skuad kendalian Jurgen Klinsmann itu juga menyaksikan Harimau Malaya memperbaiki pencapaian pada edisi 2007 yang mana skuad negara yang beraksi atas tiket selaku tuan rumah ketika itu gagal meraih sebarang mata.

Justeru, walaupun seri, tidak salah untuk seluruh peminat meraikan keputusan itu, apatah lagi reputasi Korea Selatan begitu besar dengan mereka berada di kedudukan 23 dunia berbanding Harimau Malaya di ranking 130.

Lebih mengujakan, keputusan itu jauh dari jangkaan sebenar semua pihak jika melihat kepada prestasi hambar yang ditampilkan Harimau Malaya ketika menentang Jordan dan Bahrain.

Kesilapan Harimau Malaya adalah ketika dua aksi awal kumpulan yang mana mereka gagal mempamerkan persembahan sebenar semasa menentang Jordan kerana gugup.

Persembahan lebih baik dipamerkan pada aksi kedua menentang Bahrain, namun kegagalan melakukan penyudah berkesan dan kurang bernasib baik menyebabkan mereka tewas.

Itu yang membezakan persembahan yang ditampilkan ketika menentang Korea Selatan, walaupun pasukan lawan jauh menguasai permainan, namun penyudah berkesan yang berjaya dilakukan pemain Harimau Malaya memberikan keputusan yang lebih positif.

Berita Harian X