Jumaat, 26 Januari 2024 | 3:50pm

Peruntukan RM5 juta bukan untuk 'dijoli'

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan peruntukan RM5 juta yang disalurkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak boleh dibelanjakan sewenang-wenangnya sebaliknya ia khusus untuk aktiviti pembangunan sukan bola sepak negara.

Beliau, berkata peruntukan berkenaan akan dipantau oleh Kementerian Kewangan dan Jabatan Audit Negara setiap tiga bulan bagi memastikan ia dimanfaatkan sepenuhnya untuk tujuan yang ditetapkan.

Katanya, FAM tidak boleh menggunakan peruntukan yang disalurkan untuk membayar gaji kakitangan mereka, menyelesaikan bil utiliti atau melangsaikan sewa premis.

"Geran RM5 juta kepada FAM bagi tujuan jalankan aktiviti dan program 2024. Kita sedia maklum, Harimau Malaya dan pasukan lain dibawah FAM perlu latihan berkala serta dana jika mahukan mereka lawan pasukan lebih kuat.

"Pendedahan dan pertandingan perlukan dana yang banyak. Kalau kita lihat dalam tempoh dua tahun memang nampak hasil Kim Pan Gon (jurulatih Harimau Malaya) dan Datuk Hamidin Mohd Amin (Presiden FAM) berusaha cari dana.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) cukup puas hati pada perlawanan semalam dan Harimau Malaya mempunyai bakat untuk terus melangkah ke hadapan," katanya.

Beliau, berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas makan tengah hari bersama Perdana Menteri di Restoran Nasi Kandar Pelita di sini, hari ini.

Terdahulu, Anwar mengumumkan peruntukan berjumlah RM5 juta kepada FAM bagi mengurus dan meningkatkan keupayaan skuad bola sepak kebangsaan.

Beliau, berkata pencapaian skuad Harimau Malaya yang menunjukkan kesungguhan dan semangat tidak berputus asa ketika mengikat pasukan gergasi Korea Selatan 3-3 pada kempen Piala Asia di Doha, Qatar, malam tadi adalah sesuatu yang menakjubkan.

Dalam pada itu, Hannah ketika ditanya kemungkinan peruntukan itu akan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan persatuan sukan kebangsaan yang lain, beliau berkata semua pihak perlu menerima hakikat bahawa bola sepak adalah sukan nombor satu negara.

"Kita mesti faham bola sepak adalah sukan pertama di Malaysia. Kalau kita lihat respon daripada program skrin gergasi, satu kali diadakan 60,000 orang keluar di 16 lokasi.

"Saya tidak kata sukan lain tidak memerlukan, semua perlukan duit sebab itu kita lihat ekosistem... walaupun dana tinggi untuk bola sepak tetapi perbelanjaan untuk bola sepak berbanding negara lain juga agak tinggi.

"Jadi, sukan bola sepak memerlukan dana yang banyak. Ia bukan sahaja FAM, kita lihat negara lain dalam kumpulan yang kita bertanding (Piala Asia) itu kita perbelanjaan paling rendah.

"Saya sudah buat perbandingan berbanding Jordan, Bahrain dan Korea, Malaysia paling rendah. Sebab itu, kalau mereka tidak diberikan sokongan dan biar mereka cari dana sendiri memang sukar untuk mereka," katanya.

Skuad Harimau Malaya berjaya menamatkan penantian selama 42 tahun layak secara merit ke saingan Piala Asia di Doha, Qatar yang sedang berlangsung ketika ini.

Bagaimanapun, perjuangan skuad bimbingan Kim Pan Gon terkandas di peringkat kumpulan selepas tewas di tangan Jordan 0-4 dan 0-1 kepada Bahrain sebelum mengikat Korea 3-3 pada aksi terakhir kumpulan, malam tadi untuk mengutip satu mata.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh (kiri) turun padang bersama penyokong menonton siaran langsung perlawanan antara Malaysia menentang Korea Selatan peringkat Kumpulan E Piala Asia 2023 di Dataran Putrajaya. - Bernama
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh (kiri) turun padang bersama penyokong menonton siaran langsung perlawanan antara Malaysia menentang Korea Selatan peringkat Kumpulan E Piala Asia 2023 di Dataran Putrajaya. - Bernama
Berita Harian X