Jumaat, 26 Januari 2024 | 8:51am
Pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon ketika aksi terakhir Kumpulan E Piala Asia menentang Korea Selatan di Stadium Al-Janoub, Doha. - Foto REUTERS
Pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon ketika aksi terakhir Kumpulan E Piala Asia menentang Korea Selatan di Stadium Al-Janoub, Doha. - Foto REUTERS

Saya sedia keluar - Pan Gon

DOHA: "Saya sedia untuk keluar (pergi), ini adalah sut terakhir."

Itu gurauan pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon kepada pihak media selepas skuad Harimau Malaya mengikat Korea Selatan 3-3 dalam aksi terakhir Kumpulan E saingan Piala Asia 2023, malam tadi.

Kata-kata seloroh Pan Gon itu sebagai menjawab pertanyaan wartawan mengapa dia mengenakan sut kelabu ketika aksi di Stadium Al Janoub itu dan bukan hitam putih yang kerap dipakai sebelum ini.

Namun, gurauan itu juga seakan sindiran susulan terdapat pihak membuat andaian mengenai masa depannya susulan kekalahan kepada Jordan (0-4) dan Bahrain (0-1) sebelum ini yang menyebabkan Harimau Malaya tersingkir daripada perebutan tiket ke pusingan 16 terakhir.

Pengendali dari Korea Selatan itu juga tampak beremosi pada sidang media selepas perlawanan dan mendakwa terdapat pihak yang menunggu dia gagal.

"Saya sedar dalam dua tahun lalu, kami melakukan tugas yang menakjubkan dengan keputusan 4-0, 5-0, 10-0. Setiap perlawanan kami menjaringkan gol. Saya tahu anda menunggu saya gagal.

"Anda menunggu dan saya mengetahuinya. Saya sedia. Tiada masalah. Anda mahu mengeluarkan saya, semalam," kata Pan Gon.

Kekalahan kepada Jordan dan Bahrain mencetuskan kritikan peminat terhadap skuad Harimau Malaya yang kali pertama kembali beraksi di pentas Piala Asia selepas kali terakhir pada tahun 2007.

Bagaimanapun, detik mengecewakan itu ditutup dengan kejayaan Harimau Malaya mengikat pasukan gergasi Asia, Korea Selatan, sekali gus membawa pulang satu mata.

Pada aksi terakhir Kumpulan E Piala Asia 2023 itu, Malaysia memperagakan semangat juang tinggi apabila berjaya mengikat pasukan ketiga terbaik Asia itu dengan keputusan 3-3.

Ketinggalan 1-0 pada babak pertama hasil jaringan Jeong Woo Yeong, Malaysia bangkit pada babak kedua hasil jaringan Faisal Halim dan Arif Aiman Hanapi sebelum Lee Kang In mengikat kedudukan ketika masa sebenar berbaki tujuh minit.

Korea Selatan hampir mengutip mata penuh apabila Son Heung Min menyempurnakan penalti pada masa tambahan namun jaringan penyamaan pemain gantian, Romel Morales di hujung perlawanan menggamatkan Stadium Al Janoub.

Keputusan itu menyaksikan skuad negara memperbaiki pencapaian buruk pada tahun 2007 yang menyaksikan Harimau Malaya beraksi atas tiket selaku tuan rumah ketika itu tetapi gagal meraih sebarang mata.

Selain itu, Pan Gon menjelaskan fokus utama Harimau Malaya selepas ini adalah mempersiapkan pasukan menghadapi kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada Mac dan Jun ini.

Berita Harian X