Jumaat, 26 Januari 2024 | 7:38am
Pemain Korea Selatan, Son Heung-min dan pemain Malaysia, Shahrul Saad berebut bola pada saingan Piala Asia malam tadi. - AFP
Pemain Korea Selatan, Son Heung-min dan pemain Malaysia, Shahrul Saad berebut bola pada saingan Piala Asia malam tadi. - AFP

Son tabik Harimau Malaya

DOHA: Bintang Tottenham Hotspur, Son Heung Min memuji daya juang dan kreativiti dipamerkan Skuad Harimau Malaya sehingga berjaya seri 3-3 dengan juara dua kali Korea Selatan dalam perlawanan terakhir Kumpulan E Piala Asia 2023.

Biarpun kecewa kerana tidak memperoleh kemenangan, Kapten Korea Selatan itu kagum dengan kegigihan dan kesungguhan pasukan Malaysia bimbingan Kim Pan Gon yang mampu bangkit dua kali daripada ketinggalan di Stadium Al Janoub di sini hari ini untuk membawa pulang satu-satunya mata dalam kejohanan ini.

"Ia satu keputusan yang sukar diterima, tetapi pujian hebat perlu diberikan kepada pasukan Malaysia. Mereka berjuang sehingga saat akhir permainan dan saya kagum dengan bola sepak Malaysia yang kreatif … Malaysia melaksanakan tugas mereka dengan hebat … memang menarik untuk menyaksikan perlawanan ini selaku peminat bola sepak.

"Kami kecewa dengan bagaimana kami mengakhiri perlawanan ini tetapi apa yang paling penting kami layak ke pusingan 16 pasukan terbaik dan kami teruskan kemaraan kerana perlawanan penting berlangsung tidak lama lagi, jadi kami perlu bersedia untuk perlawanan besar itu," katanya dalam sidang akhbar pemain terbaik perlawanan di sini.

Son kagum dengan kegigihan dan kesungguhan pasukan Malaysia bimbingan Kim Pan Gon. - Foto AFP
Son kagum dengan kegigihan dan kesungguhan pasukan Malaysia bimbingan Kim Pan Gon. - Foto AFP

Pan Gon meraikan jaringan gol bersama pemain. - Foto BERNAMA
Pan Gon meraikan jaringan gol bersama pemain. - Foto BERNAMA

Mengulas lanjut, pemain berusia 31 tahun itu berharap prestasi Malaysia akan terus meningkat selepas keputusan perlawanan tadi dan beliau memuji Pan Gon yang membimbing Harimau Malaya.

Dalam perlawanan yang mendebarkan dan membuatkan penyokong tidak senang duduk, Malaysia berjaya menyamakan kedudukan dengan Korea Selatan yang dibimbing bekas bintang Jerman Jurgen Klinsmann, apabila sepakan pemain gantian Romel Morales menerjah jaring pada masa tambahan yang memasuki 15 minit.

Pemain tengah Jeong Woo Yeong membuka jaringan untuk Korea Selatan menerusi tandukannya pada minit ke-21 sebelum Malaysia mendahului selepas 17 minit babak kedua menerusi sepakan Mohamad Faisal Abdul Halim dan sepakan penalti yang disempurnakan Aiman Mohd Hanapi.

Pemain Korea Selatan, Jeong Woo Yeong membuka jaringan untuk Korea Selatan menerusi tandukannya pada minit ke-21. - Foto Reuters
Pemain Korea Selatan, Jeong Woo Yeong membuka jaringan untuk Korea Selatan menerusi tandukannya pada minit ke-21. - Foto Reuters

Bagaimanapun, Korea Selatan menyamakan kedudukan ketika permainan tinggal 10 minit masa permainan sebenar menerusi gol sendiri penjaga gawang Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, sebelum mendahului 3-2 menerusi sepakan penalti Son pada masa tambahan.

Dengan keputusan perlawanan ini, Korea Selatan kekal di tangga kedua kumpulan dengan lima mata sementara Malaysia mengakhiri kejohanan ini dengan satu mata dan kepuasan menjaringkan tiga gol semasa menentang sebuah pasukan gergasi Asia.

Bahrain muncul juara kumpulan selepas menundukkan Jordan 1-0 untuk mengumpul enam mata tetapi kekalahan itu tidak menyekat Jordan yang memperoleh empat mata daripada layak ke peringkat kalah mati selaku satu daripada empat pasukan tempat ketiga terbaik. - BERNAMA

Berita Harian X