Khamis, 25 Januari 2024 | 7:50pm

Sokongan 'pemain ke-12' Harimau Malaya tetap meriah

DOHA: Aksi terakhir Malaysia di pentas Piala Asia 2023, malam ini tetap meriah dengan sokongan penyokong atau 'pemain ke-12' Harimau Malaya meskipun skuad negara sudah sah tersingkir di peringkat kumpulan.

Pertembungan dengan Korea Selatan di Stadium Al Janoub itu sekadar pelengkap jadual buat skuad negara yang berada dalam Kumpulan E.

Bagaimanapun, ratusan penyokong Harimau Malaya tetap hadir memberikan sokongan selain mereka turut teruja untuk melihat aksi beberapa pemain bertaraf dunia Korea Selatan.

Penyokong Malaysia, Norazlan Mohd Shah menjelaskan dia mengharapkan Harimau Malaya dapat mempamerkan aksi terbaik dan memberi tentangan sengit kepada Korea Selatan.

"Tiket semua saya sudah beli awal, lagi pun bagus juga dapat ke stadium untuk lihat aksi terakhir Harimau Malaya. Malah, saya juga teringin nak tengok bintang Korea Selatan beraksi terutama Son Heung Min," katanya.

Harimau Malaya yang tewas dalam dua aksi awal menentang Jordan dan Bahrain sebelum ini berada di kedudukan tercorot kumpulan tanpa sebarang mata, manakala Korea Selatan yang mengumpul empat mata di tempat kedua.

Sebahagian penyokong Harimau Malaya yang hadir menyaksikan perlawanan antara Malaysia dan Korea Selatan bagi Kumpulan E saingan Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub.
Sebahagian penyokong Harimau Malaya yang hadir menyaksikan perlawanan antara Malaysia dan Korea Selatan bagi Kumpulan E saingan Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub.
Berita Harian X