Khamis, 25 Januari 2024 | 3:18pm
Nazmi ketika adili aksi antara Iraq menentang Vietnam pada Piala Asia malam tadi.
Nazmi ketika adili aksi antara Iraq menentang Vietnam pada Piala Asia malam tadi.

Ramai puji pengadil Malaysia, penyokong Vietnam 'panas'

DOHA: Pengadil dari Malaysia, Muhammad Nazmi Nasaruddin bersama dua penolong pengadil, Mohamad Zairul Khalil Tan dan Mohd Arif Shamil Abd Rasid membuat penampilan sulung di pentas Piala Asia 2023, malam tadi.

Tiga 'wakil' negara itu diberikan peranan untuk mengadili perlawanan Kumpulan D antara Iraq dan Vietnam di Stadium Jassim bin Hamad.

Persembahan yang dipamerkan Nazmi dan dua penolong pengadil itu mendapat pujian daripada orang ramai khususnya rakyat Malaysia yang mana kejohanan Piala Asia turut menggunakan teknologi video bantuan pengadil (VAR).

Berdasarkan tinjauan di laman sosial Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) hanya segelintir penyokong Vietnam dilihat mengecam mutu pengadilan Nazmi selepas skuad Golden Star Warriors tewas 2-3 kepada Iraq.

Ia termasuk tindakan Nazmi melayangkan kad merah kepada Khuat Van Khang selepas menerima kad kuning kedua susulan kekasaran yang dilakukan ke atas Merchas Doski pada penghujung babak pertama.

Nazmi memberikan sepakan penalti kepada Iraq pada minit ke-83 selepas meneliti VAR mengenai insiden kekasaran Bui Hoang Viet Anh terhadap Youssef Amyn, namun peluang itu gagal disempurnakan Aymen Hussein.

Ketika perlawanan memasuki masa kecederaan, Nazmi sekali lagi memberikan sepakan penalti kepada Iraq dan kali ini Aymen tidak mensia-siakan peluang untuk memberikan kemenangan 3-2 kepada pasukannya.

Vietnam turut dikecewakan dengan sepakan penalti Asnawi Mangkualam pada babak pertama ketika mereka tewas 0-1 kepada Indonesia dalam aksi kedua kumpulan.

Berita Harian X