Khamis, 25 Januari 2024 | 2:35pm
Al-Rawabdeh (kiri) kekal bersama Selangor musim ini.
Al-Rawabdeh (kiri) kekal bersama Selangor musim ini.

Selangor terus ikat 'jeneral' Jordan

KUALA LUMPUR: Selangor FC (SFC) terus memberi kepercayaan kepada Noor Al-Rawabdeh selepas pemain tengah itu akan terus memperkasa jentera tengah The Red Giants untuk musim 2024/25.

Perkembangan itu diumumkan SFC menerusi satu kenyataan di laman media sosialnya sekali gus menyaksikan dia menjadi antara pemain import dari Jordan yang dikekalkan pasukan itu bagi musim baharu nanti.

Tampil buat musim pertama di Liga Malaysia (Liga M) pada musim lalu, pemain berusia 27 tahun itu beraksi dalam 28 perlawanan dan berjaya meledak lima gol selain tiga bantuan gol.

Lebih bermakna, pemain itu menjaringkan dua gol kemenangan untuk Gergasi Merah pada musim lalu iaitu ketika berdepan Penang FC di laman lawan dan Kedah Darul Aman (KDA) FC di laman sendiri.

Sebagai rekod, Al-Rawabdeh berjaya membantu skuad bimbingan Tan Cheng Hoe menamatkan musim 2023 selaku naib juara Liga Super sekali gus layak beraksi di Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) musim depan.

Dia turut membantu SFC mara sehingga ke separuh akhir Piala FA dan juga suku akhir Piala Malaysia.

Berita Harian X