Khamis, 25 Januari 2024 | 10:09am
Bintang Maghribi, Hakim Ziyech (kanan) meraikan jaringan ketika aksi Kumpulan F Piala Negara-Negara Afrika menentang Zambia di Stade Laurent Pokou, San-Pedro. - Foto AFP
Bintang Maghribi, Hakim Ziyech (kanan) meraikan jaringan ketika aksi Kumpulan F Piala Negara-Negara Afrika menentang Zambia di Stade Laurent Pokou, San-Pedro. - Foto AFP
Bintang Maghribi, Hakim Ziyech (kanan) menjaringkan gol ketika aksi Kumpulan F Piala Negara-Negara Afrika menentang Zambia di Stade Laurent Pokou, San-Pedro. - Foto AFP
Bintang Maghribi, Hakim Ziyech (kanan) menjaringkan gol ketika aksi Kumpulan F Piala Negara-Negara Afrika menentang Zambia di Stade Laurent Pokou, San-Pedro. - Foto AFP

Maghribi bantu Ivory Coast ke pusingan kalah mati

ABIDJAN: Kemenangan 1-0 Maghribi ke atas Zambia membolehkan Ivory Coast mara ke pusingan 16 terakhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON), sehari selepas negara tuan rumah itu memecat pengendali mereka.

Hari terakhir saingan peringkat kumpulan turut menyaksikan Namibia mengesahkan tempat di pusingan kalah mati buat pertama kali, manakala Afrika Selatan mara dan beberapa kuasa besar benua itu memecat pengendali mereka selepas gagal layak ke pusingan seterusnya.

Maghribi menewaskan Zambia di San-Pedro untuk menjuarai Kumpulan F dan memastikan The Chipolopolo yang dikendali Avram Grant, tersingkir di peringkat kumpulan.

Hakim Ziyech menjaringkan gol tunggal permainan di akhir babak pertama dan skuad The Atlas Lions akan kekal di San-Pedro untuk aksi kalah mati bertemu Afrika Selatan pada Selasa depan.

Mereka akan turun sekali lagi tanpa pengendali, Walid Redragui yang digantung dua perlawanan selepas seri 1-1 menentang DR Congo hujung minggu lalu.

Kemenangan Maghribi disambut penyokong Ivory Coast yang berisiko tersingkir selepas tewas 4-0 kepada Equatorial Guinea pada Isnin.

The Elephants menjadi tuan rumah AFCON pertama dalam tempoh 40 tahun, tewas dua perlawanan peringkat kumpulan, tetapi kemenangan 2-0 ke atas Guinea-Bissau pada aksi pembukaan membolehkan mereka meneruskan saingan.

Bagaimanapun tugas sukar menanti Ivory Coast apabila berdepan juara bertahan, Senegal di Yamoussoukro pada Isnin, dan ia terpaksa diharungi dengan pengendali baharu.

Jean-Louis Gasset dipecat oleh Persekutuan Bolasepak Ivory Coast pada Rabu, dengan penolongnya, Emerse Fae dilantik menggantikannya.

Fae beraksi bersama Didier Drogba dalam skuad kebangsaan Ivory Coast ketika mereka tewas kepada Mesir pada final AFCON 2006.

"Kami gembira. Keadaan sangat sukar sejak Isnin. Kami menanti dengan penuh debar. Kami kecewa dengan keputusan sendiri dan bimbang tidak dapat mara ke pusingan seterusnya.

"Ia melegakan kami. Tekanan ke atas kami sedikit reda dan kini kami perlu bersedia untuk perlawanan menentang Senegal.

"Kami terhutang budi kepada penyokong Ivory Coast dan kami perlu membuktikan kepada mereka yang keputusan menentang Equatorial Guinea adalah satu kesilapan," kata Fae. - AFP

Berita Harian X