Rabu, 24 Januari 2024 | 5:19pm
Ketua jurulatih Malaysia, Kim Pan Gon (kiri) bersama Dion Cools pada sidang media menjelang pertemuan dengan Korea Selatan di Doha. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Ketua jurulatih Malaysia, Kim Pan Gon (kiri) bersama Dion Cools pada sidang media menjelang pertemuan dengan Korea Selatan di Doha. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

'Tunjukkan sesuatu yang membanggakan Malaysia'

DOHA: Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon berharap pasukannya dapat memberikan sesuatu yang positif dalam pertembungan dengan Korea Selatan, esok.

Aksi di Stadium Al Janoub itu menjadi perlawanan terakhir Harimau Malaya di pentas Piala Asia 2023 selepas skuad negara sudah sah terkandas di peringkat Kumpulan E.

Meskipun hanya aksi pelengkap jadual, Pan Gon bagaimanapun mahu anak buahnya menunjukkan persembahan yang dapat membanggakan rakyat Malaysia.

Sedar mengenai status skuad Taegeuk Warriors selaku pasukan gergasi Asia, Pan Gon menjelaskan barisan pemainnya harus berada dalam motivasi terbaik untuk mencipta sesuatu yang positif.

"Saya sedar tahap pasukan Korea Selatan sebagai pasukan gergasi. Namun sebagai jurulatih Malaysia, saya mahu pasukan menunjukkan sesuatu untuk rakyat Malaysia.

"Ia penting bagi kami dan kami memberikan semangat kepada pemain supaya mereka tidak takut dan lebih berani untuk melawan Korea Selatan," katanya pada sidang media, di sini, sebentar tadi.

Harimau Malaya tewas dalam dua perlawanan awal kepada Jordan (0-4) dan Bahrain (0-1), sekali gus menghuni tangga tercorot kumpulan tanpa sebarang mata.

Korea Selatan pula yang menewaskan Bahrain 3-1 dan terikat 2-2 dengan Jordan berada di tangga kedua dengan mengumpul empat mata.

Selain itu, Pan Gon turut mengesahkan beberapa pemain Harimau Malaya mengalami kecederaan dan mungkin tidak bersedia untuk perlawanan menentang Korea Selatan.

"Waktu perlawanan yang berbeza berbanding perlawanan sebelum ini juga memberi cabaran kepada kami, namun kami harap dapat mengatasi perkara itu," katanya.

Berita Harian X