Selasa, 23 Januari 2024 | 10:21pm
Pemain tengah Uzbekistan, Azizbek Turgunboev (kiri) menanduk masuk gol penyamaan ketika seri 1-1 dengan Australia pada aksi Kumpulan B Piala Asia Qatar 2023 di Stadium Al Janoub di Al-Wakrah malam ini. – Foto AFP

Uzbekistan layak, Australia juara kumpulan

DOHA: Uzbekistan menyumbat gol penyamaan lewat aksi untuk mara ke pusingan kalah mati Piala Asia selepas seri 1-1 dengan Australia yang sudah layak lebih awal malam ini.

Socceroos mengintai peluang untuk memenangi semua tiga perlawanan mereka di peringkat kumpulan Piala Asia buat kali pertama dan mendahului menerusi penalti kontroversi Martin Boyle pada babak pertama di Doha.

Namun Azizbek Turgunboev melompat mengatasi Aziz Behich untuk menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-78 sekali gus menyaksikan Uzbekistan melangkah ke pusingan 16 terakhir.

Australia muncul juara Kumpulan B di depan Uzbekistan dengan Syria yang menundukkan India 1-0 di tangga ketiga.

Australia berasakan mereka berjaya mendahului apabila Kusini Yengi menanduk masuk selepas 10 minit namun penyerang Portsmouth itu dipersalahkan kerana ofsaid.

Penyerang Australia, Martin Boyle (kiri) meledak masuk menerusi sepakan penalti melepasi penjaga gol Uzbekistan, Utkir Yusupov pada aksi Piala Asia di Stadium Al Janoub, Doha malam ini. – Foto AFP
Penyerang Australia, Martin Boyle (kiri) meledak masuk menerusi sepakan penalti melepasi penjaga gol Uzbekistan, Utkir Yusupov pada aksi Piala Asia di Stadium Al Janoub, Doha malam ini. – Foto AFP

Pemain Uzbekistan, Umar Eshmurodov bernasib baik hanya dilayangkan kad kuning apabila dia mengasari Boyle yang meluru untuk menjaringkan gol pada pertengahan babak pertama.

Riley McGree kecewa apabila gagal menyempurnakan satu gerakan lima minit sebelum rehat selepas Yengi menggelecek beberapa pemain pertahanan Uzbekistan.

Namun Australia lega apabila semakan VAR mendapati bola itu terkena tangan pertahanan Uzbek, Odiljon Hamrobekov dalam gerakan itu ketika dia terjatuh untuk membentes Yengi.

Boyle menyempurnakan sepakan penalti itu dengan rembatan leret ke penjuru gol untuk membantu Socceroos menuju ke bilik persalinan dengan mendahului 1-0.

Pemain gantian Uzbekistan, Jaloliddin Masharipov hampir menyamakan kedudukan dengan satu sepakan percuma yang memukau sejurus selepas rehat.

Pemain Syria meraikan kemenangan 1-0 ke atas India pada aksi Piala Asia di Stadium Al Bayt, Al Khor, Qatar malam ini. – Foto REUTERS
Pemain Syria meraikan kemenangan 1-0 ke atas India pada aksi Piala Asia di Stadium Al Bayt, Al Khor, Qatar malam ini. – Foto REUTERS

Negara Asia Tengah itu kemudiannya dibatalkan satu gol apabila Eshmurodov menanduk masuk susulan sepakan percuma sebelum dia dipersalahkan kerana ofsaid.

Namun hasil kerja keras mereka berbaloi akhirnya apabila pemain gantian Turgunboev melonjak tinggi untuk menanduk masuk satu hantaran silang bagi menyamakan kedudukan buat Uzbekistan.

Ia gol pertama dilepaskan Australia pada Piala Asia kali ini, berikutan kemenangan ke atas India dan Syria.

– AFP

Berita Harian X