Sabtu, 20 Januari 2024 | 7:36am
Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon (dua dari kanan) bersama pemain ketika sesi latihan menjelang perlawanan dengan Bahrain dalam peringkat Kumpulan E sempena Piala Asia 2023 di Universiti Qatar, Doha. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon (dua dari kanan) bersama pemain ketika sesi latihan menjelang perlawanan dengan Bahrain dalam peringkat Kumpulan E sempena Piala Asia 2023 di Universiti Qatar, Doha. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh lakukan kunjungan mengejut ke sesi latihan skuad Harimau Malaya di Doha, Qatar. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh lakukan kunjungan mengejut ke sesi latihan skuad Harimau Malaya di Doha, Qatar. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim

Hannah tabik Pan Gon

DOHA: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menganggap pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon sudah melakukan yang terbaik dalam menaikkan nama dan prestasi Harimau Malaya.

Beliau menjelaskan, dalam tempoh dua tahun sejak dilantik untuk berada di kerusi panas itu pada tahun 2022, Pan Gon berjaya membawa perubahan positif buat bola sepak kebangsaan.

Katanya, pencapaian terbaik itu termasuk membawa Malaysia layak ke pusingan akhir Piala Asia secara merit buat kali pertama selepas 42 tahun selain peningkatan kedudukan Malaysia dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

"Kita akan terus bekerja dengan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) secara rapat dan secara peribadi, Pan Gon memang sudah melakukan yang terbaik untuk Malaysia. Dua tahun sahaja berjaya membawa Malaysia melangkah jauh hingga ke ranking 130 dunia.

"Saya yakin dengan strategi beliau dan walaupun ada banyak persoalan dalam media sosial, saya rasa Pan Gon orang yang paling tahu mengenai strategi dan persiapan (pasukan).

"Bagi generasi kita, layak secara merit selepas 42 tahun adalah pencapaian terbaik dan kita harus bangga. Kita tak boleh harapkan Pan Gon dalam dua tahun kita nak menang Piala Dunia, memang tak mungkin. Sebab itu harapan kita perlu realistik, berpijak di bumi yang nyata," kata Hannah.

Harimau Malaya ketika ini sedang bersaing dalam Piala Asia 2023 di Qatar dan Pan Gon turut menerima kritikan daripada beberapa pihak termasuk penyokong susulan kekalahan 4-0 kepada Jordan dalam aksi pertama Kumpulan E, Selasa lalu.

Selain itu, Hannah yang melakukan kunjungan mengejut ke sesi latihan skuad Harimau Malaya, di sini, semalam, menjelaskan pihaknya akan mengkaji mengenai pasukan lawan yang turut berada dalam Kumpulan E sebagai usaha meningkatkan lagi prestasi skuad negara.

Beliau berkata, kajian itu merangkumi persiapan yang dilakukan dan bentuk sokongan yang diperoleh pasukan terbabit di negara mereka.

"Kalau kita bandingkan dengan ranking sahaja tidak cukup, apa bajet mereka dan apa jenis insentif di negara mereka. Persiapan ini kita tak boleh lihat hanya 90 minit di dalam padang.

"Kita kena tengok keseluruhan, ini adalah peranan KBS (Kementerian Belia dan Sukan) untuk melihat dan saya sudah minta semua info daripada Datuk Hamidin Mohd Amin (Presiden FAM), kita akan kaji secara teliti.

"KBS nak pastikan yang kami mainkan peranan kami, jurulatih dan FAM akan mainkan peranan mereka. Tetapi saya nak lihat ekosistem untuk bantu pembangunan sukan bola sepak," katanya.

Berita Harian X